KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah dari PAS hari ini memohon maaf kepada Syahredzan Johan berhubung kenyataan berunsur fitnah yang mendakwa Ahli Parlimen Bangi itu menyokong ideologi komunis.
Kenyataan itu didakwa dibuat pada 25 Okt 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 serta antara 8 hingga 12 Julai 2023 menjelang Pilihan Raya Negeri Selangor.
Permohonan maaf itu dimuat naik oleh Mohd Shafie di laman Facebook hari ini, dan beliau mengakui bahawa semua dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas serta tidak mempunyai sebarang merit.
“Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuhnya menyedari kecederaan, distres, dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh tindakan-tindakan saya kepada Syahredzan.
“Sehubungan itu, saya dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat, dan memberikan aku janji tanpa bersyarat dan secara nyata, untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan-kenyataan lanjut yang bersifat fitnah atau yang berkemungkinan memfitnah Syahredzan dalam apa jua bentuk atau cara,” katanya.
Mohd Shafie turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi pada 19 Feb 2024 telah mengeluarkan suatu injunksi interim yang menyekat beliau daripada membuat sebarang kenyataan serupa atau kenyataan selanjutnya yang bersifat fitnah terhadap Syahredzan, yang juga peguam.
"Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan-tindakan saya dan komited untuk memastikan bahawa saya akan bertindak dengan lebih berhati-hati, hormat serta berintegriti pada masa depan," katanya.
Syahredzan menerusi hantaran di laman Facebook hari ini pula berkata dengan penyelesaian kes saman itu, sewajarnya tidak ada lagi pertikaian peribadi antara beliau dan Mohd Shafie.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya iaitu Daniel Albert, Nicholas Yap dan Amanda Yap atas khidmat mereka dalam kes ini," katanya yang memfailkan saman itu pada 2023.
Pada 22 Sept lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong merekodkan penghakiman persetujuan penyelesaian kes membabitkan kedua-dua ahli politik.
Susulan itu, Mohd Shafie selaku defendan diarah menerbitkan permohonan maaf di dua akhbar nasional serta di semua laman media sosialnya termasuk Facebook yang dikaitkan dengan Mohd Shafie, PAS Bangi dan Perikatan Nasional Parlimen Bangi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial