EKONOMI

Rundingan FTA Malaysia-EU Dijangka Dimuktamad Tahun Depan

25/09/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) dijangka dimuktamadkan tahun depan, dengan peringkat akhir rundingan akan diteruskan tidak lama lagi, kata Pesuruhjaya Perdagangan EU Maroš Šefčovič.

Beliau berkata MEUFTA akan menggunakan model kerjasama komprehensif yang terbukti mendorong pertumbuhan perdagangan, pekerjaan, pelaburan serta mengeratkan hubungan politik dan hubungan rakyat seluruh dunia.

"Saya pasti nilai perdagangan yang kita lihat hari ini antara Malaysia dan Eropah, yang mencecah 46 bilion euro (1 euro = RM4.94), akan berkembang dengan pesat sebaik sahaja perjanjian perdagangan bebas ini mula dilaksanakan,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025, hari ini.

Sidang kemuncak itu berlangsung bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan, di sini hari ini.

Menurut Šefčovič, Malaysia dan EU telah berkongsi pengalaman dan kepakaran yang meluas dalam menangani isu-isu seperti perolehan awam, perusahaan milik kerajaan, kepekaan dalam sektor pertanian, bahan mentah kritikal, pelesenan eksport-import serta halangan bukan tarif.

Pengalaman sedemikian, katanya, diharap dapat melancarkan lagi rundingan berkenaan.

"Saya dengan ini memberi jaminan bahawa Eropah merupakan rakan dagangan yang menarik, bukan sekadar kami adalah blok dagangan terbesar di dunia, tetapi kami juga rakan kerjasama yang sentiasa boleh dipercayai, telus dan adil," katanya.

Šefčovič berkata rundingan perjanjian perdagangan bebas antara EU dan tiga negara ASEAN, Malaysia, Thailand dan Filipina dijangka akan dimuktamadkan secara kolektif menjelang 2027.

Perjanjian dua hala ini, katanya, akan membentuk satu rangkaian penting yang menjadi asas kukuh kepada usaha mewujudkan perkongsian perdagangan serantau yang lebih luas, iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-EU (ASEAN-EU FTA).

“Menjelang 2027, kita akan meraikan ulang tahun ke-50 dialog antara EU dan ASEAN. Sebagai rakan yang komited terhadap sistem perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan, kami berharap dapat memperingati detik bersejarah ini dengan memeterai satu perkongsian strategik yang menyeluruh.

“Ini kerana matlamat jangka panjang kami adalah untuk merealisasikan perjanjian perdagangan antara rantau ke rantau,” katanya.

Beliau berkata EU telah mempunyai perjanjian dengan Singapura dan Vietnam, selain memeterai perjanjian dua hala dengan Indonesia baru-baru ini, manakala rundingan dengan negara-negara ASEAN lain juga sedang giat dijalankan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan