Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) akan meneruskan perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai keluli dan aluminium sebagai usaha untuk menangani isu lebihan kapasiti global yang membanjiri pasaran Eropah, kata Pesuruhjaya Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi Eropah, Maros Sefcovic.
Beliau berkata EU telah memuktamadkan perbincangan dengan Wakil Perdagangan AS Jameson Greer, dan perbincangan itu juga merangkumi beberapa langkah seterusnya dengan penekanan kepada pentingnya pendekatan bersama EU-AS terhadap keluli dan produk berasaskan keluli untuk Eropah dan perniagaannya.
“Kami telah berbincang dalam tempoh agak lama mengenai pewujudan kesatuan keluli antara EU dan AS. Kami tidak mengeksport banyak keluli antara satu sama lain, namun kami menghadapi lebihan kapasiti produk keluli global yang membanjiri pasaran kami.
“Oleh itu, kami bersetuju yang saya akan menghantar surat kepada Setiausaha Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS untuk mengesahkan semula persetujuan kami dari 27 Julai. Pada masa sama menekankan betapa pentingnya isu keluli dan produk berasaskan keluli untuk EU dan hubungan perniagaan masa depan kami,” katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.
Pada Jun tahun ini, isu tarif AS timbul semula di Eropah apabila cukai 50 peratus yang dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump ke atas import keluli dan aluminium mula berkuat kuasa.
Sementara itu, AS menurunkan tarif ke atas import kenderaan dari EU kepada 15 peratus secara retroaktif mulai 1 Ogos, mengukuhkan terma-terma perjanjian kerangka perdagangan antara kedua-dua pihak.
Sefcovic berkata pada masa ini EU tidak mengenakan pengecualian ke atas eksport keluli dan aluminium ke AS, walaupun mengeksport kira-kira empat juta tan keluli khusus dan satu juta tan produk berasaskan keluli setiap tahun.
Brussels telah mencadangkan kuota berkadar tarif khas (TRQ) berdasarkan aliran sebelum ini, serta langkah terselaras terhadap lebihan kapasiti global, katanya.
Beliau yang mengaitkan isu itu dengan pertahanan berkata komitmen Eropah terhadap perbelanjaan ketenteraan yang tinggi menjadikan perlindungan terhadap industri keluli sebagai sesuatu yang penting.
“Jika anda membuat perkakasan ketenteraan, anda memerlukan keluli. Jadi, kami perlu melakukan yang terbaik untuk melindungi industri keluli kami,” katanya.
Beliau berkata Brussels sedang mempertimbangkan langkah perlindungan selanjutnya selepas 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial