KOTA BHARU, 24 Sept (Bernama) -- Perobohan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Sungai Golok disifatkan sebagai langkah tepat untuk membanteras penyeludupan namun perlu dilakukan dengan teliti, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata ini kerana tidak semua pangkalan haram di sepanjang sungai itu dibina untuk tujuan penyeludupan sebaliknya sebahagian adalah untuk aktiviti harian penduduk sejak puluhan tahun.
“Ini bukan bermaksud kita membela aktiviti yang melanggar undang-undang, tetapi kita cukup faham dengan rakyat dalam hal ini. Tidak semua pangkalan adalah untuk penyeludupan, ada yang sebenarnya menjadi kemudahan rakyat termasuk urusan kekeluargaan antara penduduk Kelantan dan Pekan Golok.
“Kita minta semua pihak bertanggungjawab, bukan sahaja kerajaan negeri malah juga kerajaan Persekutuan, bagi membantu penduduk yang terjejas kerana perobohan pangkalan haram ini menjejaskan pendapatan harian mereka,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Menurut Mohamed Fadzli, kerajaan negeri mempunyai beberapa bentuk bantuan khusus seperti bantuan keusahawanan, ibu tunggal dan perniagaan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk terlibat manakala kerajaan Persekutuan menerusi jabatan berkaitan juga boleh tampil membantu.
Beliau berkata kerajaan negeri akan meneliti setiap kes secara individu bagi menentukan bentuk bantuan bersesuaian selain mendapatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Apa yang penting, langkah yang dibuat polis ini bertujuan mencegah penyeludupan haram khususnya membabitkan dadah, bukannya untuk menekan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata sebanyak 153 daripada 212 jeti pangkalan haram yang dibina di atas tanah kerajaan akan dirobohkan mulai bulan depan.
Sementara itu, Mohamed Fadzli memaklumkan tiada cuti umum diperuntukkan Ahad ini sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 29 dan 30 Sept.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial