KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan sektor swasta dalam menggubal dasar serta kawal selia yang boleh memudahkan serta mempercepat pelaksanaan projek terutama infrastruktur rel untuk memastikan kemampanan jangka masa panjang, kata kalangan peserta industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Rail Sdn Bhd Farizul Hazli Baharom berkata jumlah cadangan yang tinggi diterima kerajaan ketika mahu mendapatkan input daripada sektor swasta menunjukkan kesediaan pihak swasta untuk sama-sama terlibat.
Secara perbandingan, sektor swasta mempunyai lebih banyak ruang untuk bergerak, berpandangan luar daripada kebiasaan serta mencari jalan serta kaedah untuk melaksanakan projek pada tahap yang lebih berkesan, katanya ketika sesi panel bertajuk ‘Masa Depan Kereta Api Berkelajuan Tinggi di Asia Pasifik: Membina Rantau yang Terhubung, Mampan dan Berdaya Tahan’ di persidangan HSR Asia 2025 di sini, hari ini.
Ketika menjawab soalan mengenai peranan sektor swasta dalam infrastruktur pengangkutan negara yang memberi manfaat kepada rakyat masa kini dan masa depan, beliau berkata walaupun infrastruktur pengangkutan memerlukan sokongan besar daripada kerajaan namun tidak semestinya dalam bentuk kewangan.
“Sokongan ini lebih kepada dasar fiskal, sokongan politik, serta pengecualian khas bagi memudahkan pembangunan projek negara.
“Langkah ini dapat mengurangkan kos projek namun memerlukan kerjasama rapat antara sektor swasta dan kerajaan,” katanya.
Anak syarikat Berjaya Land Bhd, Berjaya Rail Sdn Bhd, menumpukan kepada sektor rel khususnya projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
Sehubungan itu, sebuah forum perlu diwujudkan supaya sektor swasta dan kerajaan dapat bekerjasama untuk meneroka risiko serta pihak terbaik untuk mengambil risiko itu kerana pengagihan risiko juga penting, katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Rel) YTL Construction Sdn Bhd Datuk Seri Azmi Abdul Aziz yang turut senada dengan Farizul Hazli mencadangkan penggunaan model pembiayaan hibrid dengan sektor kerajaan dan swasta berkongsi kos.
Beliau berkata model itu dapat mengurangkan tekanan terhadap dana kerajaan.
Apabila sesuatu projek melibatkan pembiayaan awam yang besar, penglibatan sektor swasta dalam platform infrastruktur boleh labur adalah diperlukan, katanya.
Beliau berkata langkah itu merupakan cara yang saling menguntungkan, dan menjadi asas kewujudan kerjasama awam-swasta pada masa ini.
“Kita boleh terus menambah baik pendekatan ini. Kerajaan boleh melakukan peranannya dengan mewujudkan dasar dan pengurusan tanah,” katanya yang juga ahli panel dalam sesi itu.
HSR Asia 2025 menampilkan kemajuan terkini dalam kesalinghubungan rentas sempadan, mobiliti pintar, infrastruktur hijau dan model pembiayaan inovatif.
Persidangan dua hari itu meneliti cara projek rel yang bersifat transformasi mentakrif semula mobiliti serantau, memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan memperluas sempadan teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial