AM

Hanya 2,915 Kenderaan Perdagangan Sahkan Pemasangan SLD Setakat Ini - Loke

24/09/2025 05:19 PM

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Hanya 2,915 atau 2.68 peratus daripada keseluruhan 108,805 kenderaan perdagangan termasuk bas persiaran dan ekspres telah mengesahkan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) setakat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata berdasarkan jumlah berkenaan, tahap pematuhan pemasangan SLD oleh kenderaan terbabit masih amat rendah menjelang penguatkuasaan pada 1 Okt ini.

"Sebanyak 105,890 kenderaan atau 97.32 peratus masih gagal mematuhi arahan ini, sama ada kerana tidak mengambil endah atau beranggapan Kementerian Pengangkutan tidak serius," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata selepas tarikh penguatkuasaan sepenuhnya, kerajaan tidak lagi berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan berkenaan.

"Sekiranya pemeriksaan dilakukan dan didapati kenderaan tidak mempunyai SLD, Notis 114 (Notis Panggilan Temu Siasat) akan dikeluarkan.

“Ini bukan saman, sebaliknya notis panggilan untuk hadir ke JPJ dalam tempoh 10 hari dan membuktikan pengesahan telah dibuat," katanya.

Beliau berkata semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD perlu disahkan pihak yang diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

“Pengesahan itu juga perlu diperbaharu setiap dua tahun bagi memastikan SLD berfungsi dengan baik,” katanya.

Penguatkuasaan secara rasmi berkaitan SLD iaitu peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan akan membabitkan kenderaan dibina selepas 1 Jan 2015.

Penguatkuasaan termasuk membabitkan bas persiaran dan ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) serta membawa lebih lapan penumpang dan kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500kg.

Pelaksanaan itu diumumkan sebagai langkah susulan tragedi di Gerik pada Jun lepas, yang meragut 15 nyawa apabila sebuah bas persiaran membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam kemalangan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan