KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pengarah Eksekutif KL Wellness City Datuk Seri Dr Vincent Tiew merekodkan kejayaan bersejarah menamatkan Kejohanan Dunia Ironman di Nice, Perancis yang merupakan antara laluan Ironman paling mencabar di dunia.
KL Wellness City Sdn Bhd yang merupakan pemaju induk pembangunan perbandaran dalam kenyataan memaklumkan kejayaan itu menjadikan Tiew lebih bersedia untuk mengharungi cabaran baharu dirinya, iaitu menyertai tiga lagi perlumbaan penuh Ironman dalam tempoh 80 hari.
Perlumbaan tersebut ialah Ironman Barcelona (Sepanyol), Ironman Florida (Amerika Syarikat) dan Ironman Busselton (Australia Barat).
“Kejohanan Dunia Ironman bukan sakadar impian menjadi kenyataan dan perlumbaan ke-14 untuk Tiew, tetapi lebih istimewa kerana beliau bertanding ketika masih dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan dialami pada Jun.
“Walaupun berdepan cabaran itu, beliau menunjukkan ketahanan diri, keazaman dan kekuatan mental untuk menamatkan kejohanan yang merupakan antara cabaran daya ketahanan paling mencabar di dunia,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan Malaysia diwakili lapan peserta pada kejohanan di Nice, dengan tujuh daripadanya termasuk Tiew dan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan perlumbaan.
“Menamatkan perlumbaan mencabar seperti itu bersama-sama rakan senegara merupakan pengalaman amat membanggakan dan membuktikan tekad mereka sebagai satu kumpulan,” menurut kenyataan itu.
Kejohanan Dunia Ironman di Nice menguji daya ketahanan peserta untuk melepasi cabaran berenang 3.8 kilometer (km) di Laut Mediterranean diikuti berbasikal 180 km di laluan mencabar merentasi Banjaran Alps dengan jarak hampir sama dari Kuala Lumpur ke Ipoh, yang turut melibatkan laluan mendaki dan menurun berulang, setanding seperti mendaki Genting Highlands.
Cabaran akhir ialah larian maraton 42.2 km yang benar-benar menguji ketahanan peserta menyebabkan banyak atlet triatlon berpengalaman menyifatkan Nice sebagai antara laluan kejohanan dunia paling mencabar kerana menuntut kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
Kejayaan Tiew juga disifatkan menunjukkan kesejahteraan merupakan perjalanan sepanjang hayat yang memerlukan keseimbangan antara kerjaya dan latihan menerusi disiplin tinggi, konsistensi dan pengurusan masa yang baik.
Sementara itu, Tiew dalam kenyataan sama berkata menamatkan Kejohanan Dunia Ironman di Nice, lebih daripada kejayaan peribadi kerana membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga boleh cemerlang di satu daripada ‘pentas’ dunia paling mencabar.
“Mendaki di Banjaran Alps dan intensiti laluan itu benar-benar menguji setiap kekuatan tetapi melintasi garisan penamat bersama-sama Syed Saddiq dan rakan senegara lain menjadikan setiap saat sebagai pengalaman tidak dapat dilupakan.
“Pada saya, pengalaman ini mencerminkan nilai kesejahteraan, ketabahan dan konsistensi seperti prinsip kami di KL Wellness City. Kini, saya akan mencabar diri dengan menyertai tiga lagi perlumbaan Ironman dalam tempoh 80 hari akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial