Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- ASEAN kekal komited sepenuhnya untuk terus memperkukuh kerjasama jangka panjang dengan China melalui pelaksanaan berkesan perjanjian utama seperti Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan kerangka kerjasama serantau penting yang lain.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ketika dunia sedang berdepan dengan persekitaran global yang semakin kompleks, ASEAN dan China perlu terus mendukung prinsip keterbukaan, keterangkuman dan multilateralisme.
"Prinsip ini penting untuk memastikan kerjasama kami kekal relevan, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan," kata Tengku Zafrul semasa berucap mempengerusikan Rundingan AEM-Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) ke-24 hari ini.
Beliau menekankan bahawa hubungan ASEAN-China telah meningkat dengan ketara, disokong oleh hubungan ekonomi yang kukuh, kerjasama antara rakyat dan saling mempercayai.
Menurutnya China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar ASEAN manakala ASEAN muncul sebagai rakan perdagangan utama China dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus menjadi gambaran jelas mengenai ciri kerjasama mereka yang saling bermanfaat.
Perdagangan ASEAN-China mencapai US$772.2 bilion pada 2024.
Tengku Zafrul berkata ASEAN dan China telah mengulangi komitmen untuk menyelesaikan isu perdagangan dan menangani perbezaan melalui rundingan berdasarkan kesaksamaan, saling menghormati dan saling bermanfaat semasa sesi rundingan khas AEM-MOFCOM pada Mei.
"Kami juga bersetuju untuk terus memanfaatkan kerjasama perdagangan dan ekonomi ASEAN-China bagi menangani cabaran yang tidak menentu.
"Oleh itu, marilah kita mengulangi komitmen kolektif untuk bekerjasama sebagai rakan, jiran dan sahabat, untuk memberikan manfaat bermakna kepada rakyat dan pada masa sama menyumbang kepada kestabilan serantau dan global," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial