Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- ASEAN tidak seharusnya bersikap defensif tetapi perlu membuat keputusan berani untuk meliberalisasi peraturan bagi mempercepat integrasi ekonomi serantau, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata peningkatan syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia, Lion Air dan VietJet telah merangsang pasaran intra-ASEAN yang kukuh, disokong oleh dasar ruang udara terbuka dan perjalanan tanpa visa.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berperanan penting dalam memacu ekonomi, disokong oleh teknologi digital yang mendorong pertumbuhan perniagaan yang pesat. Usahawan menyumbang secara positif kepada pengembangan ekonomi Asia Tenggara.
“Untuk membina kejayaan ini, pembuat dasar perlu memberi tumpuan untuk membuka sektor tambahan supaya turut menikmati kemajuan dan integrasi yang sama,” kata Fernandes dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) 2025 di sini hari ini.
Beliau menggesa ASEAN supaya berani, meninggalkan sikap defensif dan melakukan langkah berani ke arah liberalisasi.
“Ada yang akan menang dan ada yang akan kalah, tetapi secara keseluruhannya, integrasi ekonomi sentiasa memberikan kemenangan untuk semua,” katanya.
Fernandes yang juga ahli Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) berkata, walaupun terdapat ketegangan di beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan antara Thailand dan Kemboja telah menimbulkan kebimbangan, permintaan terhadap pelancongan dan perjalanan di rantau ini kekal teguh.
“Saya tidak melihat apa-apa sebab bagi kenaikan kos. Sektor perjalanan dan pelancongan adalah antara yang paling berjaya di ASEAN. Sama ada sedar atau tidak, kita telah mewujudkan pasaran yang kurang bergantung kepada dunia luar,” katanya.
Beliau turut memberikan contoh bahawa AirAsia melalui cabang logistiknya Teleport memberi peluang kepada usahawan untuk berkembang ke seluruh rantau ini dengan menyediakan penyelesaian penghantaran rentas sempadan mampu milik.
“Teknologi digital, digabungkan dengan sistem logistik yang baik akan membuka peluang kepada banyak usahawan baharu. Kami (AirAsia) sememangnya sebagai pemacu kepada PKS. Pemacu dan tulang belakang ASEAN bukan syarikat besar. Ia adalah PKS, dan saya yakin peniaga mikro akan memainkan peranan besar,” kata Fernandes.
Beliau berkata pada masa ini makanan haiwan peliharaan buatan Malaysia dieksport ke Singapura manakala perniagaan fesyen di bandar kecil telah menembusi pasaran serantau dengan sokongan platform e-dagang dan logistik yang berkesan.
Menurutnya peningkatan kesalinghubungan termasuk rangkaian rel seperti Sistem Transit Rapid Johor-Singapura dan projek rel berkelajuan tinggi yang berpotensi, akan menggalakkan lagi perdagangan dan pertumbuhan ekonomi intra-ASEAN.
“Saya tidak pernah bimbang dengan rel berkelajuan tinggi. Saya berpendapat ia baik untuk negara, baik untuk ekonomi. Apa-apa sahaja aspek kesalinghubungan, selagi harganya berpatutan, ini akan membuka banyak peluang,” katanya.
Mengenai usaha memperluas kesalinghubungan ke China, Fernandes berkata AirAsia telah menyambung semula penerbangan ke China dan menambah laluan ke negara itu walaupun terdapat anggapan bahawa pelancong China masih belum kembali melancong dalam jumlah yang besar.
“Sebenarnya, mereka menggunakan perkhidmatan di AirAsia. Kami tidak mengalami masalah besar kerana ketika syarikat penerbangan lain fokus kepada bandar-bandar besar, kami menumpukan kepada bandar kecil yang kurang kesalinghubungan,” katanya.
AirAsia melihat China bukan sahaja sebagai sumber kemasukan pelancong malah sebagai pasaran utama bagi pengembara keluar termasuk pemilik perniagaan kecil.
“Jika anda menaiki penerbangan ke China, banyak PKS berada di dalamnya. Oleh itu, kami akan terus menambah perkhidmatan. China dan India adalah pasaran yang sangat besar, selagi mempunyai penumpang dan kami menawarkan harga tiket yang berpatutan,” kata Fernandes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial