AM

Graduan PTSS Buktikan Mampu Bersaing Di Peringkat Global

23/09/2025 08:50 PM

ARAU, 23 Sept (Bernama) -- Keupayaan graduan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini bersaing pada peringkat global terbukti apabila seorang daripada mereka ditawarkan bekerja dengan Pusat Dakwah Jepun (Japan Da’wah Centre) di Osaka.

Pengarah PTSS Khairul Anuar Ishak dalam kenyataan berkata lulusan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti politeknik itu Nur Shafinaz Mohd Noor, 25, menerima tawaran berkenaan sejurus selepas menamatkan latihan industri dalam bidang pemasaran halal dan multimedia.

“Sejurus tamat latihan, beliau terus ditawarkan kerja dan berkhidmat sebagai Eksekutif (Pembantu) Hal Ehwal Media, Pelatih Industri dan Halal. Tugas beliau merangkumi pengurusan hal ehwal pelajar Malaysia di Jepun, penghasilan kandungan multimedia serta pematuhan halal,” kata Khairul Anuar.

Nur Shafinaz yang berasal dari Kedah menerima Anugerah Kecemerlangan Khas atas pencapaiannya di peringkat antarabangsa itu pada Majlis Konvokesyen PTSS Ke-17 dan Kolej Komuniti Arau 2025 di Dewan Harumanis PTSS, di sini hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan Khairul Anuar dan disaksikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Nur Shafinaz semasa ditemui pemberita berkata beliau menerima tawaran itu selepas menjalani latihan industri di pusat tersebut dari Januari hingga Mei lepas.

“Selama tiga bulan saya membuat latihan secara fizikal di Japan Da’wah Centre manakala dua bulan lagi secara dalam talian, banyak benda baharu saya belajar dari sini. Saya memohon untuk menjalani latihan industri di pusat tersebut selepas dimaklumkan kakak ketiga saya mengenai peluang di situ," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik.

Menurut Nur Shafinaz bapanya merupakan pengusaha bas persendirian manakala ibunya seorang suri rumah.

Beliau yang menamatkan pengajian dengan keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.88 itu berkata mahu memfokuskan sepenuhnya pada bekerja terlebih dahulu bagi menimba pengalaman  sebelum menyambung peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang sama.

Seramai 1,116 graduan diraikan dalam konvokesyen yang berlangsung tiga hari hingga Khamis ini, melibatkan empat sidang merangkumi program sijil, diploma dan asasi pelbagai jurusan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan