KOTA KINABALU, 23 Sept (Bernama) -- Program Kedai Jujur dianggap sebagai platform paling sesuai untuk para pelajar mempraktikkan nilai integriti bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia yang lebih kompleks.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kedai Jujur juga boleh dijadikan benteng awal bagi menghalang salah laku tidak berintegriti dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau berkata konsep ini berasaskan amalan masyarakat Sabah sejak dahulu yang mengamalkan gerai jualan tanpa penjaga, meletakkan barangan bersama tabung bayaran dan mempercayai kejujuran pembeli.
“Budaya ini menjadi asas kepada program Kedai Jujur di sekolah, agar nilai itu terus hidup dalam kalangan generasi baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara di sini hari ini.
Hajiji berkata mendidik anak-anak agar berpegang kepada integriti bukanlah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, sebaliknya harus digalas bersama seluruh masyarakat.
Beliau berkata nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah dan tanggungjawab perlu dibentuk seawal usia muda di rumah, kemudian diperkukuh di sekolah serta diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Membudayakan integriti hanya dapat dicapai apabila semua pihak berganding bahu menjadikannya amalan dalam setiap aspek kehidupan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada SPRM, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan SuriaGroup atas komitmen mereka melancarkan Program Kedai Jujur 2025,” katanya.
Hajiji berkata program itu dilaksanakan di 10 sekolah seluruh Sabah termasuk di Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, dengan SK Mutiara menjadi lokasi pelancaran rasmi.
Beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas RM20,000 kepada SK Mutiara untuk membiayai aktiviti sekolah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial