EKONOMI

ASEAN Dukung Perdagangan Berasaskan Peraturan, Bina Perkongsian Global Kukuh

23/09/2025 06:37 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- ASEAN akan terus membina jambatan dan bukannya tembok dengan rakan dagang utama dengan cara kekal komited kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negara anggota perlu bersama-sama melindungi perdagangan bebas, adil dan tanpa diskriminasi, sambil mengurangkan risiko berada di bawah pengaruh ekonomi yang lebih besar sambil menegaskan bahawa peranan ASEAN dalam perdagangan global telah menjadi semakin penting.

Beliau berkata Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi kira-kira 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global, dengan ASEAN sebagai terasnya.

“Kita juga sedang giat mengukuhkan hubungan perdagangan strategik dengan ekonomi baharu, dengan yang terkini kesediaan kita untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Ini berdasarkan Deklarasi Bersama ASEAN-GCC mengenai Kerjasama Ekonomi yang diterajui dan diumumkan Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini, yang memberi tumpuan kepada sektor utama seperti kewangan, keterjaminan makanan dan tenaga,” katanya menerusi ucapan perasmian pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57, hari ini. 

Tengku Zafrul berkata ASEAN juga mengukuhkan hubungan ekonomi dengan rakan dialog sedia ada melalui beberapa FTA ASEAN Plus 1 yang ditambah baik seperti ASEAN-China FTA 3.0, Kajian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), dan tidak lama lagi FTA ASEAN-Korea.

Selain itu, ASEAN juga sedang menimbang penglibatan dengan blok perdagangan baharu, satu daripadanya adalah dialog antara ASEAN dan ekonomi anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), untuk membincangkan bidang kepentingan bersama.

Beliau berkata inisiatif ini memperkukuh rangkaian hubungan perdagangan yang pelbagai untuk ASEAN.

"Mesej kita kepada dunia adalah jelas: kita terbuka menerima perniagaan dan pelaburan, dan akan terus kekal begitu.

“Kita akan bekerjasama dengan semua rakan - yang lama dan yang baharu, Timur dan Barat - untuk mendapatkan pasaran yang pelbagai bagi barangan dan perkhidmatan kita dan juga mengukuhkan kedudukan kita sebagai tunjang perdagangan global," kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, mesyuarat AEM ke-57 yang diadakan hari ini bukan sahaja bagi menyelesaikan isu semasa, tetapi juga untuk melakar wawasan jangka panjang Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Beliau berkata penghujung 2025 akan menandakan siapnya Pelan Tindakan AEC 2025 dan pelancaran Pelan Strategik AEC 2026-2030. Pelan ini adalah sebahagian daripada siri empat Pelan Strategik AEC di bawah inisiatif “ASEAN 2045: Our Shared Vision”.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan