EKONOMI

Hubungan Dagangan Ekonomi Baharu, Kerjasama Blok Perdagangan Baharu Jadi Tumpuan Hari Kedua

24/09/2025 12:06 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Memperdalam hubungan dagangan strategik dengan ekonomi baharu sambil meneroka kemungkinan kerjasama dengan blok perdagangan baharu antara mesej utama negara-negara anggota ASEAN hari ini sebagai langkah menangani cabaran geopolitik dan perdagangan global yang sentiasa berubah.

Walaupun para menteri ekonomi mengulangi komitmen mereka untuk terus membina jambatan dengan rakan dagangan utama sambil kekal komited kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), mereka juga bersetuju pendekatan ini adalah hala tuju yang perlu diteruskan.

Mengakhiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-57 hari ini, Pengerusinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ASEAN sebagai contoh bersedia untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), terutamanya memandangkan masih terdapat ruang yang besar untuk membina hubungan ekonomi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu turut berkata ASEAN juga sedang meneroka penglibatan yang bermakna dengan blok perdagangan baharu, antaranya negara-negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk meneroka bidang kepentingan bersama.

Dalam pada itu, mesyuarat hari ini memperakui tamatnya rundingan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) sebagai sebahagian daripada Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah Kepengerusian Malaysia yang akan meningkatkan integrasi ekonomi rantau ini ke tahap lebih tinggi.

ATIGA yang dinaik taraf akan menggabungkan elemen-elemen baharu untuk menangani isu-isu terkini termasuk barangan yang dibuat semula, perdagangan dan alam sekitar, perdagangan ketika situasi krisis kemanusiaan dan ketersambungan rantaian bekalan yang dijangka ditandatangani di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober 2025.

Antara PED lain yang dibincangkan semasa mesyuarat itu termasuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA); Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu ASEAN (AFISS); dan naik taraf Protokol Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.

Mesyuarat AEM Ke-57 berakhir dengan Tengku Zafrul menyerahkan tukul mesyuarat kepada Setiausaha Perdagangan dan Industri Filipina Ma. Cristina Aldeguer-Roque sebagai simbolik penyerahan jawatan Pengerusi AEM untuk tahun hadapan.

Turut hadir dalam mesyuarat peringkat tertinggi itu antaranya ialah Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian; Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Dr Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Nimul; dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.

Indonesia diwakili oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dyah Roro Esti Widya Putri, manakala Vietnam diwakili Timbalan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Nguyen Sinh Nhat Tan.

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Timbalan Perdana Menteri Timor Leste Franciso Kalbuadilay hadir sebagai pemerhati.

Sementara itu, Mesyuarat AEM Ke-57 juga menyaksikan bermulanya pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Persaingan (AFAC) yang mewujudkan asas kukuh untuk kerjasama dan pembinaan kapasiti dalam kalangan pihak berkuasa persaingan di rantau berkenaan.

Tengku Zafrul berkata perjanjian rangka kerja itu menghantar mesej yang kuat kepada komuniti global bahawa ASEAN komited sepenuhnya terhadap keadilan, ketelusan dan integriti dalam pasaran mereka.

Mesyuarat AEM Ke-57 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung dari 22–26 September di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 20 mesyuarat dan program-program sampingan, termasuk penglibatan dengan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan