Oleh Mikhail Raj Abdullah and Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kanada menawarkan insentif baharu untuk menarik syarikat-syarikat minyak seperti Petronas meningkatkan pelaburan dalam sektor gas asli cecair (LNG), ketika Perdana Menteri Mark Carney berusaha mempercepatkan kelulusan permit untuk projek LNG dan tenaga bersih.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Foundation of Canada Jeff Nankivell berkata tindakan kerajaan itu memberikan kepastian yang lebih besar dan tempoh masa yang jauh lebih singkat untuk pelabur menjana aliran pendapatan.
“Jelas sekali langkah ini memberi kesan kepada nilai pelaburan yang merupakan bentuk insentif paling penting,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual melalui Zoom.
Asia Pacific Foundation of Canada yang berpangkalan di Singapura akan menganjurkan Forum Perniagaan Kanada-ASEAN 2025 serentak dengan mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di mana menteri perdagangan dan ekonomi Kanada akan hadir sebagai rakan dialog.
Nankivell berkata Carney yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober, dijangka menekankan komitmen Kanada untuk memudahkan dan mempercepatkan pembangunan projek-projek utama negara itu di sepanjang sidang kemuncak berkenaan.
Kesungguhan Kanada untuk menarik syarikat-syarikat minyak utama adalah selari dengan hasrat Petronas untuk mengembangkan kehadirannya di negara itu, memandangkan Kanada kini merupakan salah satu pembekal LNG utamanya.
Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan bulan lalu berkata ia memiliki kira-kira 50 trilion kaki padu gas di Kanada, sambil menambah projek LNG Canada hanya berada pada fasa pertama.
Petronas telah berjaya menghantar kargo LNG pertamanya dari kemudahan di Kitimat, British Columbia, Kanada pada 8 Julai tahun ini.
Ia mengendalikan projek gas huluan North Montney Joint Venture dan merupakan rakan pemegang ekuiti utama dengan pegangan 25 peratus dalam LNG Canada, sebuah kemudahan LNG bernilai US$40 bilion.
Sementara itu, Nankivell berkata landskap telah berubah untuk pelabur-pelabur di Asia Tenggara yang sedekad lalu mungkin menolak projek di Kanada dan memilih peluang yang lebih menarik di tempat lain.
“Sekarang ini merupakan masa yang paling tepat untuk melihat semula (projek di Kanada) kerana terdapat peluang dan semangat baharu dalam kerajaan berikutan persekitaran kawal selia kini jauh lebih kondusif untuk pembangunan pesat projek-projek utama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial