AM

Kestabilan, Pengurusan Kewangan Berhemah Kunci Kepada Pertumbuhan Malaysia - PM

23/09/2025 08:11 PM

Daripada V.Sankara

DILI (Timor-Leste), 23 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah telah membolehkan negara melaksanakan pelbagai pembaharuan serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Bercakap pada Majlis Temu Mesra MADANI bersama diaspora Malaysia, alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sini, beliau berkata keamanan serta kestabilan adalah asas utama kepada reformasi dalam bidang pendidikan, institusi dan tenaga selain pemacu pendigitalan dan kecerdasan buatan.

Anwar, yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste, berkata kestabilan politik membolehkan Malaysia melaksanakan reformasi secara berperingkat tanpa mencetuskan perpecahan. 

“Kita faham bahawa reformasi perlu dilakukan dengan bijaksana, bukan secara keras atau tergesa-gesa. Mengapa kita di Malaysia mencapai kemajuan? Pertama sekali, kerana wujudnya keamanan dan kestabilan politik,” katanya.

Beliau juga berkata kepimpinan berwibawa, kerjasama antara perkhidmatan awam dan sektor swasta adalah penting dalam menarik pelaburan langsung asing serta mengukuhkan pelaburan domestik sekali gus memastikan ekonomi terus berkembang.

Anwar berkata tadbir urus yang baik adalah teras kepada kemajuan Malaysia dan memberi peringatan tegas mengenai bahaya gejala rasuah, penyelewengan dan pembaziran. 

Menyorot pendekatan fiskal berhemat pentadbirannya, beliau memaklumkan bahawa harga petrol telah berjaya diturunkan kepada RM1.99 seliter iaitu antara yang terendah di dunia hasil daripada proses perolehan yang ketat, penjimatan dalam projek tebatan banjir dan pelaksanaan subsidi bersasar.

Perdana Menteri turut menggesa rakyat Malaysia agar bangkit mengatasi politik perkauman atau wilayah sambil memberi amaran bahawa retorik bersifat perpecahan mampu meruntuhkan negara.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia ke arah pendigitalan, peralihan tenaga, pendidikan dan kesihatan.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Petronas atas penglibatannya di Timor-Leste sebagai manifestasi kerjasama serantau.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan