AM

PM Tiba Di Timor-Leste Untuk Lawatan Rasmi, Perkukuh Hubungan Dan Sokong Hasrat Sertai ASEAN

23/09/2025 02:28 PM

Daripada V.Sankara

DILI (Timor-Leste), 23 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari ke Timor-Leste bagi memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang bakal dimuktamadkan.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presiden Nicolau Lobato pada 2.43 petang waktu tempatan (1.43 tengah hari waktu Malaysia).

Menyambut ketibaan beliau ialah Presiden Dr José Ramos-Horta, Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dan Ketua Protokol Negara Timor-Leste Juvencio Martins. 

Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil selain para pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.

Majlis sambutan ketibaan Perdana Menteri turut diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik diikuti penyampaian simbolik kain Tais iaitu tekstil tenunan tradisional yang sarat dengan nilai budaya dan warisan masyarakat Timor-Leste serta persembahan oleh kumpulan kebudayaan dan pancaragam sekolah.

Dalam satu upacara penuh simbolik dan jarang berlaku, Anwar dijemput menyertai Ramos-Horta menaiki Mini Moke, sebuah kenderaan klasik dengan bumbung terbuka yang merupakan pemandangan ikonik dalam acara kenegaraan di Timor-Leste.

Ramos-Horta memandu sendiri kenderaan itu, dengan Anwar duduk di tempat penumpang hadapan di sebelahnya manakala Gusmão mengambil tempat di belakang mereka.

Penggunaan Mini Moke, yang sinonim dengan gaya peribadi Ramos-Horta dan pendekatan mesra rakyat beliau, memberikan sentuhan budaya yang unik ketika ketiga-tiga pemimpin bersama-sama melakukan perjalanan dari lapangan terbang ke sebuah hotel berdekatan.

Ini merupakan kunjungan pertama Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun sekali gus mencerminkan sokongan berterusan negara terhadap aspirasi republik itu untuk menyertai ASEAN.

Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang menubuhkan kedutaan di Dili pada malam kemerdekaan Timor-Leste pada Mei 2002, dan hingga kini kekal sebagai antara penyokong kuat negara demokrasi muda itu, yang memiliki hampir 1.4 juta penduduk, sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 rantau itu di Kuala Lumpur bulan depan.

Lawatan itu juga dijangka memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dan lebih 1,000 warga Timor-Leste telah mendapat manfaat daripada latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia manakala 55 pelajarnya sedang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Hubungan ekonomi dan antara rakyat juga semakin berkembang, didorong oleh penerbangan terus Batik Air dari Kuala Lumpur ke Dili yang dilancarkan pada Jun 2025 serta pengenalan kemudahan perjalanan tanpa visa selama 30 hari untuk rakyat Malaysia pada Ogos lepas.

Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste bernilai USD18.72 juta (RM85.68 juta).

Eksport Malaysia ke Timor-Leste berjumlah USD18.37 juta (RM84.06 juta) manakala import dari negara itu adalah sebanyak USD0.35 juta (RM1.62 juta).

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai perdagangan dua hala mencecah USD6.65 juta (RM26.88 juta) dengan lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia aktif di Timor-Leste dalam pelbagai sektor seperti makanan, hospitaliti, peruncitan serta perkhidmatan automotif.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan