Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Riztiney Batik mungkin satu nama asing, namun usaha seni batik tanah liat yang lebih mesra alam ini menjadi bukti semangat serta kreativiti seorang ibu tunggal yang kini berhasrat mengetengahkan produknya ke luar negara.
Rozita Harun, 53, berkecimpung dalam industri batik sejak 15 tahun lepas selepas penceraian dan memanfaatkan pekerjaan sebagai kerani di sebuah kilang batik sehingga berjaya mengusahakan bengkelnya sendiri di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor.
“Sebenarnya saya bermula daripada kosong. Tiada kerja dan 100 peratus seorang suri rumah.
“Namun, apabila berpisah (dengan bekas suami), saya terfikir untuk bangkit semula (dan mencari rezeki),” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui di reruai pamerannya sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Apa yang menarik, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu kini mencipta nama dalam industri batik, malahan berjaya memperkenalkan teknik alternatif lebih selamat dan mesra alam iaitu batik tanah liat.
“Menerusi teknik baharu ni, saya rasa lebih selesa sebab saya hampir tidak menggunakan bahan api langsung. Bahannya hanya tanah liat, tepung gandum dan salah satu bahannya juga daripada bahan buat kek,” katanya.
Berbanding teknik batik konvensional yang menggunakan lilin, beliau berkata batik tanah liat mengambil masa lebih lama untuk kering, namun prosesnya tidak melibatkan risiko seperti pembakaran dan merebus lilin sekali gus sesuai untuk pengusaha wanita kecil-kecilan .
Selain kain pasang, Rozita kini memberi tumpuan kepada pakaian siap seperti baju kurung Kedah, Riau, Pahang, kebaya, blaus, kardigan, kemeja serta blazer atau jaket yang kebanyakannya berasaskan batik tanah liat dan dijual pada harga antara RM150 hingga RM350, bergantung kepada jenis dan material.
“Saya perlu sentiasa menghasilkan produk kerana dijemput untuk banyak acara, hampir setiap bulan dan setiap minggu,” katanya, sambil memaklumkan permintaan terhadap batiknya sebagai amat menggalakkan.
Menyentuh penyertaannya di AEM ke-57, beliau berkata ini kali kedua dijemput oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selepas beberapa penampilan di mesyuarat ASEAN sebelum ini.
“Saya juga berharap masyarakat Malaysia menggalakkan pemakaian batik bukan setakat pada hari Khamis, tetapi pada bila-bila masa untuk apa saja aktiviti,” katanya ketika berkongsi harapannya.
Bagi Rozita, nilai budaya dan keunikan batik turut menjadi sebagai lambang masyarakat berbilang kaum.
Walaupun beroperasi secara kecil-kecilan dengan tenaga kerja terhad, ibu empat anak itu berharap mendapat lebih banyak peluang untuk meneroka pasaran luar jika diberi peluang dan sokongan logistik yang mencukupi.
Produk Riztiney Batik juga pernah ke Jepun melalui misi perdagangan MITI ke Osaka, apabila baju-bajunya dibeli dan dihantar terus ke sana yang membuktikan potensi eksport batik tempatan.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kraftangan Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang banyak membantu dari segi latihan, peluang pameran dan bimbingan perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial