EKONOMI

Teliti PED, Perkukuh Integrasi Serantau Antara Agenda Pertemuan Menteri Ekonomi ASEAN

23/09/2025 08:45 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) – Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (ASEM) ke-57, dijangka meneliti Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) selain membincangkan usaha memajukan integrasi serantau ketika rantau ini mengharungi cabaran realiti ekonomi global.

Mesyuarat peringkat tinggi itu akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selain turut dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi ASEAN serta Setiausaha Agung perkumpulan, Dr Kao Kim Hourn.

Agenda utama mesyuarat itu adalah fokus terhadap aspek memperkukuh integrasi serantau ASEAN, terutama menerusi semakan terhadap PED, penelitian kemajuan di bawah Pelan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta kerja-kerja persiapan bagi Pelan Strategik AEC 2026-2030.

Salah satu daripada 18 PED itu telah siap sepenuhnya iaitu deklarasi bersama Kerjasama Ekonomi ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) yang diterima pada 27 Mei 2025 ketika para pempimpin bertemu untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi.

Jadual pagi ini dimulakan dengan barisan menteri akan berhimpun bagi Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39 dan Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN (AIA) ke-28 untuk membincangkan isu-isu ekonomi global dan serantau, mengambil kira pencapaian ekonomi rantau selain meneroka kaedah untuk mengembangkan kerjasama ekonomi yang akan menyumbang kepada perjalanan integrasi ekonomi perkumpulan itu.

Pada tengah hari, tumpuan beralih kepada pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Persaingan ASEAN (AFAC) dan seterusnya Konsultasi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) ke-23 yang menghimpunkan menteri-menteri dan kalangan pemimpin perniagaan serantau.

ASEAN dianggota oleh 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Di bawah pimpinan Malaysia yang memegang kepengerusian ASEAN 2025, Mesyuarat AEM ke-57 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan akan menghimpunkan lebih 500 delegasi dari negara-negara anggota blok berkenaan.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” jadual AEM sarat dengan 20 mesyuarat dan program sampingan sepanjang tempoh 22-26 September, termasuk libat urus dengan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Kesempatan kali ini adalah yang kelima Malaysia selaku pengerusi ASEAN sejak menyertai blok serantau itu selepas menggalas tanggungjawab itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

--- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan