AM

Minyak Enjin BHPetrol Peroleh Lesen Pensijilan Produk Tulen SIRIM

22/09/2025 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Minyak enjin keluaran Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) kini secara rasmi menerima Lesen Pensijilan Produk Tulen SIRIM daripada SIRIM QAS International, sekali gus memperkukuh kedudukan jenama itu dalam pasaran minyak enjin negara.

Pengiktirafan berkenaan merangkumi 30 produk daripada tiga kategori minyak enjin BHPetrol iaitu SynGard (minyak enjin kereta penumpang), Trans (minyak enjin kenderaan komersial dan diesel) serta Dash (minyak motosikal).

Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol Azizul Azily Ahmad berkata pencapaian itu membuktikan komitmen syarikat dalam mengekalkan kualiti dan standard minyak enjin pada tahap tertinggi, termasuk memberi perlindungan kepada pengguna.

“BHPetrol menyahut seruan dengan penuh komitmen untuk menegaskan bahawa minyak enjin kami kini diiktiraf oleh SIRIM. Saya yakin sijil ini akan mengukuhkan lagi kedudukan minyak enjin BHPetrol dalam pasaran,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penganugerahan Lesen Pensijilan Produk Tulen SIRIM untuk minyak enjin BHPetrol, yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boustead Holdings Berhad Datuk Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Md Adha Rahmat berkata pemberian lesen pensijilan itu membolehkan pengguna mengenal pasti produk tulen dengan mengimbas nombor siri pada pelekat kod QR rasmi SIRIM.

“Setiap label mempunyai nombor siri. Bagi mengelakkan ancaman produk tiruan dan penggunaan minyak enjin tidak berkualiti, SIRIM memperkenalkan teknologi pengimbas untuk memeriksa ketulenan produk.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SIRIM QAS International dan mengimbas nombor siri pada produk,” katanya.

Beliau menegaskan pencapaian itu bukan sahaja mengutamakan kepentingan pengguna, malah memperkukuh integriti jenama selain mencerminkan kerjasama erat antara pihak industri.

Pelekat kod QR rasmi SIRIM berwarna hijau muda akan ditampal pada produk minyak enjin baharu yang dihasilkan dan dibungkus, manakala pelekat kod QR rasmi SIRIM berwarna merah jambu muda akan diedarkan kepada rakan niaga BHPetrol untuk ditampal pada stok sedia ada sebelum 7 Okt ini.

BHPetrol dalam kenyataan memaklumkan, pelekat itu menjadi bukti bahawa produk berkenaan mematuhi piawaian kualiti ketat ditetapkan SIRIM QAS International, selain menunjukkan komitmen syarikat memastikan proses pelabelan berjalan lancar.

“Memandangkan pelaksanaan pelekat kod QR hijau muda dan merah jambu muda ini akan dijalankan secara berperingkat, BHPetrol akan terus menyalurkan maklumat terkini kepada rakan niaga, pelanggan dan kementerian bagi memastikan ketelusan serta pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan pelabelan produk tulen SIRIM QAS International,” katanya.

Pencapaian itu selaras dengan tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang menetapkan semua produk minyak enjin tanpa label pensijilan SIRIM tidak dibenarkan berada di pasaran selepas 7 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan