KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kurang pendedahan mengenai Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) serta kesukaran mengakses sistem digital khususnya dalam kalangan pemandu sudah berusia dikenal pasti antara faktor utama kadar pendaftarannya masih rendah sejak permohonan SKPS dibuka minggu lepas.
Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berkata walaupun proses pendaftaran agak mudah, ramai pemilik kenderaan awam khususnya pemandu teksi yang berusia tidak biasa menggunakan platform digital.
“Sistem pendaftaran sebenarnya mudah kerana maklumat asas sudah tersedia dalam sistem, cuma golongan pemandu yang berusia menghadapi kesukaran menggunakan platform digital.
“Saya sendiri sudah daftar tetapi tidak layak kerana kereta saya dalam bengkel. Bila keluar nanti, saya perlu buat kemas kini semula. Kekeliruan kecil seperti ini menyebabkan ramai tunggu dan lihat dulu sebelum mendaftar,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas gesaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar syarikat pengangkutan awam darat dan barangan mendaftar SKPS bagi menikmati subsidi petrol RON95.
Ini berikutan, jumlah pendaftaran yang diterima sejak SKPS dibuka pada 15 Sept lepas hanya 1,790 syarikat melibatkan 5,449 kenderaan berbanding anggaran 100,000 kenderaan yang layak di seluruh negara.
Kamarudin berkata daripada 20,000 ahli di bawah gabungan persatuan itu, hanya sekitar 2,000 pemandu berjaya mendaftar dalam tempoh seminggu selepas pendaftaran dibuka.
Sehubungan itu, pihak GTSM merancang untuk mengadakan jelajah penerangan di 12 hingga 14 negeri, selain menyediakan video panduan bagi membantu pemandu yang tidak celik teknologi.
“Kalau pendaftaran lebih meluas, lebih ramai pemandu akan dapat manfaat. Ini juga boleh kurangkan beban kos operasi harian mereka yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Ekspres S. Sathies berkata banyak pengusaha menganggap proses pendaftaran rumit kerena memerlukan dokumen lengkap.
“Bagi mereka pendaftaran agak rumit dan memerlukan pelbagai dokumen syarikat. Ada yang tamat tempoh atau tidak tahu di mana letak dokumen malah ada dokumen yang tiada dalam simpanan. Bagi mereka, proses ini merumitkan dan subsidi mungkin tidak berbaloi.
“Ramai juga yang tidak mahir teknologi kerana sudah berusia. Bagi ahli persatuan, kami bantu mereka mendaftar dan mengurus dokumen tetapi mereka yang bukan ahli perlu daftar dahulu sebelum dibantu,” katanya.
Selain isu literasi digital, terdapat juga pengusaha yang masih belum mengetahui mengenai SKPS termasuk Pengasas Pertubuhan Amal Team Rompin Mohamad Izzudddin Yakub yang hanya dimaklumkan mengenai inisiatif ini selepas dihubungi Bernama, hari ini.
“Saya sendiri baru tahu tentang SKPS. Pertubuhan kami mengendalikan lima van jenazah dan ambulans percuma dan kos minyak mencecah RM6,000 hingga RM7,000 sebulan bagi sebuah kenderaan. Subsidi ini sudah tentu melegakan kerana kenderaan kami beroperasi setiap hari, termasuk perjalanan jauh merentas negeri,” katanya.
Beliau berkata kekurangan maklumat menyebabkan ramai pengusaha van jenazah di negeri lain masih belum mendaftar, malah ada yang keliru antara SKPS dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebelum ini.
“Kami akan segera daftar dan sebarkan maklumat ini kepada rakan pengendali lain. Bila subsidi sampai, ia meringankan kos operasi sekali gus membolehkan khidmat percuma ini diteruskan untuk masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Lori Tipper Malaysia Datuk Michael Loo Leep Chye menyifatkan pelaksanaan SKPS sebagai langkah baik namun mekanisme pelaksanaannya perlu diperincikan.
“Kerajaan perlu pastikan bantuan benar-benar sampai kepada pengusaha kecil dan sederhana, bukan hanya syarikat besar. Apa yang lebih penting, manfaat subsidi harus dapat mengurangkan kos pengangkutan dan seterusnya harga barangan supaya rakyat benar-benar menikmati tempias positif daripada inisiatif ini,” katanya.
Pada 16 Sept lepas, KPDN menganggarkan 100,000 kenderaan syarikat penggangkutan darat awam dan barangan di seluruh negara layak membuat permohonan pendaftaran menerusi SKPS bagi menikmati manfaat subsisi petrol RON95.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata permohonan pendaftaran melalui sistem itu amat penting supaya usaha KPDN menyalurkan subsidi untuk kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan dapat dikawal selia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial