Hawa panas begitu terasa sekalipun waktu telah melewati tengah malam ketika penulis menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou di wilayah Zhejiang, China pada 6 Ogos lalu, selepas enam jam di dalam perut kapal terbang dari Kuala Lumpur.
Terletak kira-kira 1,300 kilometer dari Beijing, wilayah di timur China ini antara kawasan di negara berkenaan yang mengalami cuaca panas melampau dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius di siang hari pada bulan lepas.
Namun di sebalik bahang itu, penulis yang sedikit keletihan tetap berasa teruja apabila kami meneruskan perjalanan ke bandar Quzhou yang mengambil masa tiga jam menaiki kereta. Masakan tidak, destinasi dituju ini ialah nadi industri kandungan kreatif China dengan teknologi terkini menjadi tulang belakang, dan penulis sebagai penggiat media digital, tidak sabar untuk menyaksikan kecanggihan teknologi itu sepanjang sembilan hari berada di Zhejiang.
Kehadiran penulis di bandar ini bersama-sama 30 pengamal media, pencipta kandungan kreatif dan pempengaruh dari beberapa negara termasuk Afrika dan Amerika Latin, adalah atas undangan CCTV+, peneraju agensi berita video China, bagi meneroka dunia pembuatan kandungan kreatif China, khususnya drama dan filem.
“KOTA CERITA” DI BAWAH SATU BUMBUNG
Program pertama kami di bumi Quzhou ini bermula di Meigao Short-Drama Super Factory, sebuah kompleks produksi moden yang melahirkan ribuan drama pendek bersiri atau drama mikro dengan format menegak saban tahun.
Dari kejauhan, kompleks yang sebahagian besarnya dibina daripada keluli dan kaca itu berkilau memantulkan pancaran matahari pagi, menggamit kedatangan kami.
pic-2
Sebaik turun dari kenderaan, penulis terpegun. Tidak ubah seperti sebuah kota mini, kompleks ini menempatkan lebih 200 buah set penggambaran yang dibina sebelah-menyebelah, sekali gus meningkatkan kecekapan produksi dan seterusnya menjimatkan kos.
Dari stesen pengangkutan yang lengkap dengan replika kapal terbang, helikopter dan kereta api, hinggalah pejabat CEO, ruang pejabat korporat bahkan mahkamah serta penjara. Tidak ketinggalan set penggambaran di bilik tidur, ruang tamu dan sebagainya dengan pelbagai reka bentuk hiasan dalaman.
Hanya beberapa langkah memisahkan satu dunia dengan dunia lain. Babak romantis di bilik tidur boleh bertukar kepada adegan tegang di bilik siasatan polis dalam masa kurang lima minit. Pendek kata, puluhan babak dapat dirakam dalam sehari tanpa perlu meninggalkan bangunan ataupun mengangkut kru dan pelakon dari satu lokasi ke lokasi lain.
Menurut Pengurus Besar Meigao Short-Drama Super Factory Dai Wenxue, setiap karya yang dihasilkan di situ mengetengahkan bakat orang muda; dari pengarah, kru kepada pelakon, seiring dengan permintaan pasaran.
LEDAKAN INDUSTRI DRAMA PENDEK
Menurut Dai Wenxue, drama pendek bersiri dengan setiap episod hanya mengambil masa kira-kira 90 saat termasuk iklan begitu popular di China, dan Meigao merupakan pengeluar utama drama jenis itu.
Trend drama pendek atau mikro ini kian menular di dunia dan menjadi antara hiburan pilihan utama pengguna media sosial seperti Douyin (TikTok di luar negara), YouTube serta DramaBox kerana, selain jalan cerita yang pantas dengan babak bertukar dalam sekelip mata - adegan romantik ke babak antagonis merancang konspirasi dalam beberapa saat - drama jenis ini mudah ditonton di mana-mana sahaja menggunakan telefon pintar.
pic-3
Trend drama mikro ini bermula di China pada pertengahan 2010-an namun meledak di awal 2020-an seiring pertumbuhan novel dalam talian serta aplikasi seperti Douyin di negara itu. Sekalipun sebuah drama mungkin mengandungi hingga 40 episod, masa untuk menonton keseluruhan drama hanya dalam lingkungan satu jam setengah ke dua jam.
“Walaupun durasinya pendek, setiap saat tetap mampu menyimpan pelbagai emosi. Ini dapat dilihat dengan beberapa produk drama kami yang mendapat jutaan tontonan setiap hari,” kata Dai Wenxue menerusi penterjemah kepada Bernama.
Menurutnya, industri drama pendek di China berkembang pesat sehingga mengatasi hiburan arus perdana hanya dalam tempoh beberapa tahun, menjana ekonomi penggiat segmen itu.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan China Internet Network Information Center (CNNIC), pada suku pertama tahun ini jumlah penonton drama pendek mencecah 662 juta orang, hampir 60 peratus daripada pengguna Internet negara itu yang meluangkan masa purata tontonan sebanyak 101 minit sehari.
Pada 2024, pendapatan segmen ini mencecah 50.5 bilion yuan (RM32.4 bilion), melepasi kutipan pecah panggung filem domestik dan dijangka melonjak melebihi 100 bilion yuan menjelang 2027.
Platform seperti Douyin, TikTok, YouTube dan DramaBox terus menjadi pentas utama dalam memikat ratusan juta penonton setiap hari di China dan global, sekali gus mencipta lubuk emas bagi penggiat seni dan membentuk corak tontonan generasi baharu.
DARI KOTA FIZIKAL KE ALAM MAYA
Namun, Quozhou tidak hanya mempertaruhkan set fizikal.Tidak jauh dari situ, penulis melangkah ke satu lagi mercu tanda inovasi iaitu Versatile AI Virtual Film Base.
Versatile AI ialah sebuah studio gergasi yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya dan menjadi tumpuan penerbit filem domestik, khususnya bagi filem yang memerlukan banyak babak CGI (imej janaan komputer).
pic-4
Pengurus Besarnya Shen Chenqi berkata studio itu dilengkapi skrin LED melengkung terbesar di dunia dengan lengkungan bersaiz 270 darjah, setinggi 12 meter dengan keluasan 5,000 meter persegi.
Menurut beliau, penataan visual 8K HDR (imej beresolusi tinggi dengan warna lebih hidup dan kontras jauh lebih jelas) menjadikan suasana begitu realistik dan memenuhi keperluan CGI sesebuah filem.
“Dengan menggunakan teknologi ini, kos produksi sesebuah filem dapat dijimatkan kerana kru dan pelakon tidak perlu ke luar negara sekiranya penggambaran melibatkan lokasi seperti Gurun Sahara, bandar raya New York atau di mana-mana sahaja di dunia ini,” jelas beliau.
AI SEBAGAI RAKAN KREATIF
“Di studio ini juga AI bukan sekadar alat. Teknologi ini membantu merangka skrip, menganalisis data penonton, mencadangkan sudut kamera dan memilih palet warna cahaya, malah menentukan gaya visual paling berkesan untuk membangkitkan emosi penonton,” tambah beliau.
Lebih menarik, penulis dibenarkan mengemudi alat kawalan sistem visual mega itu, memberikan penulis satu pengalaman unik yang tidak ada galang ganti.
Hanya dengan satu sentuhan di skrin kawalan sistem, penulis mampu mengubah suasana matahari terbit kepada gerimis di waktu senja, sekali gus membolehkan penggambaran dilakukan tanpa menunggu cuaca atau waktu yang sesuai. Malah, mereka tidak perlu menghabiskan masa mempersiap set penggambaran dengan prop dan sebagainya.
Bukan setakat itu, paparan imej yang cukup realistik membuatkan penonton benar-benar percaya babak dirakamkan ketika gerimis senja, walhal hanya di dalam sebuah studio canggih.
Proses yang dahulunya memakan masa berminggu kini boleh disiapkan dalam tempoh beberapa jam, sekali gus membantu penerbit mengawal kos sambil pada masa sama kualiti visual di skrin penonton dijamin pada tahap tertinggi.
Penulis benar-benar kagum.
“CHINAWOOD” DAN INSPIRASI MALAYSIA
Gabungan set fizikal Meigao dan keupayaan maya Versatile AI menjadikan industri hiburan China sebagai kuasa baharu dunia. Selepas Bollywood dan Hollywood, penganalisis media kreatif mula menyebut nama baharu: “Chinawood”.
Bagi China, industri itu, khususnya segmen drama mikro, bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk diplomasi budaya, pemacu ekonomi dan strategi pengaruh global.
Untuk kita di Malaysia, pencapaian China boleh dijadikan inspirasi kerana, dengan bakat kreatif yang ada di negara ini industri kandungan kreatif kita juga berpotensi menembusi pasaran antarabangsa dengan mengangkat cerita-cerita rakyat seperti makyung dan legenda Puteri Gunung Ledang.
Namun, untuk melangkah ke persada global, kita memerlukan “keberanian” seperti China dalam menggabungkan teknologi dan seni dengan membina ekosistem produksi yang cekap dan berani bereksperimen.
Bayangkan jika kisah rakyat warisan negara disampaikan dalam format 90 saat dengan visual setaraf produksi antarabangsa, sudah pasti ia akan mendapat permintaan tinggi di platform sosial media yang ditonton oleh ratusan juta orang.
Penulis menutup buku catatan dengan satu kesimpulan, iaitu masa depan sesebuah kandungan kreatif tidak lagi diukur pada panjang durasinya, tetapi ketepatan mesej dan skripnya serta disokong dengan imej yang menggetarkan jiwa.
China telah melangkah ke pentas dunia sebagai kuasa kreatif baharu. Persoalannya, bilakah Malaysia bersedia berdiri di sisi? Bukan selaku penonton tetapi sebagai pemain utama.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial