JOHOR BAHRU, 9 Sept (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional hari ini secara rasmi melancarkan studio “TikTok Shop LIVE Hub” di Johor Bahru yang telah siap sepenuhnya pada pertengahan Ogos lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata ia dilengkapi dengan kemudahan dua unit studio siaran langsung bagi membantu usahawan memasarkan produk dalam talian.
"Usahawan dan pencipta kandungan berpeluang menghasilkan penstriman langsung dan video pendek di ruangan yang lebih kondusif serta dilengkapi peralatan canggih.
"Usaha ini sekali gus dapat membantu usahawan menjana pendapatan luar biasa dan memperkukuhkan perniagaan di platform TikTok," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran TikTok Shop LIVE Hub x TEKUN Nasional di pejabat TEKUN Ar Rahnu, di Bandar Baru Uda di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abdul Ghani, Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Nur Azre Abdul Aziz.
Sementara itu, Adam berkata kerjasama strategik bersama TikTok Shop Malaysia itu berupaya memperkukuhkan akses pasaran serta meningkatkan jualan usahawan menerusi platform e-dagang.
Beliau berkata sebelum ini, lima studio telah siap dibangunkan iaitu tiga di Ibu Pejabat TEKUN Nasional, Kuala Lumpur dan dua di Penampang, Sabah.
Beliau berkata sehingga 19 Ogos lepas, lebih daripada 300 usahawan telah memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan keseluruhan 600 jam penstriman langsung dan 8.8 juta tontonan.
Adam berkata TikTok Shop turut menganjurkan Bengkel Promosi Online dan Perniagaan bagi usahawan TEKUN Nasional di setiap lokasi berkenaan.
"Di samping itu, kemudahan latihan LIVE Hub yang telah dibina juga memberi impak dengan 21 sesi latihan atau bengkel diadakan serta 3,000 pesanan produk tempatan terjual," katanya.
Justeru, beliau berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan TikTok Shop dalam mendigitalisasikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui beberapa program yang dijalankan seperti Seminar Asas Keusahawanan, JomKopi dan JomSembang.
Beliau berkata kerjasama itu mencerminkan satu model sinergi yang mantap bagi membangunkan ekonomi dan usahawan Johor khususnya menerusi pusat bimbingan dan TikTok Shop Live Hub.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial