JOHOR BAHRU, 21 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kedatangan pelancong ke pulau-pulau di Mersing terus digalakkan, namun pada masa sama menegaskan keperluan mempertingkat kawalan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan pencemaran, ancaman keselamatan serta kerosakan ekosistem laut.
Seri Paduka Baginda bertitah kepulauan Mersing, merupakan antara aset pelancongan negara yang bernilai, justeru pengurusan yang lebih teratur dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian alam semula jadi terus terpelihara.
“Baru-baru ini, saya melihat di dalam paparan media sosial keadaan bot pelancong sesak serta jumlah pengunjung terlalu ramai. Oleh demikian, pemuliharaan biodiversiti adalah amat penting bagi terus memelihara khazanah alam sekitar,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa pengurusan pelancongan yang berkesan, bukan sahaja memastikan keindahan pulau-pulau Mersing kekal terpelihara, malah menjamin kesejahteraan rakyat serta kelangsungan industri pelancongan negara.
Pada 18 Sept, Pejabat Daerah Mersing menerusi notis pemberitahuan memaklumkan semua aktiviti selam skuba, selam snorkel dan lawatan ke enam pulau dihentikan berkuat kuasa serta-merta, bagi memberi laluan kepada kerja pemuliharaan biodiversiti marin serta alam sekitar.
Penutupan itu melibatkan Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah.
Susulan itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan keprihatinan dan menitahkan agar khazanah alam sekitar, khususnya kepulauan di Mersing, dipelihara untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial