KLANG, 21 Sept (Bernama) -- Gamuda GM Klang Sdn Bhd hari ini melancarkan projek kediaman terbaharunya, Ambang Residensi, iaitu pangsapuri servis pegangan bebas yang terletak di Bandar Botanik di sini dan dijangka siap pada 2028.
Pengarah Urusan Gamuda GM Klang Sdn Bhd Datuk Lim Seng Kok berkata projek itu melibatkan dua blok pangsapuri servis dengan 618 unit, termasuk 93 unit Rumah Mampu Milik, 32 unit lot kedai, tujuh aras tempat letak kereta serta pelbagai kemudahan awam dan rekreasi.
“Ambang Residensi dibangunkan dengan aspirasi jelas untuk mewujudkan komuniti yang selesa didiami, sesuai untuk bekerja dan berdaya pelaburan. Ia memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap gaya hidup pintar, lestari serta berhubung baik di koridor selatan Klang.
“Ia direka dengan teliti untuk mereka yang mahukan lebih daripada sekadar rumah — mereka mahukan gaya hidup, kemudahan dan nilai jangka panjang,” katanya pada majlis pelancaran Ambang Residensi di sini, hari ini.
Lim berkata Ambang Residensi yang akan dibangunkan di atas tapak seluas 1.7 hektar itu turut menawarkan nilai pelaburan kukuh, berteraskan aspek keterhubungan, rekaan inovatif serta pelaburan yang berdaya tahan masa depan.
Lim berkata Ambang Residensi terletak kira-kira 200 meter dari Stesen LRT3 Bandar Bukit Tinggi serta berhampiran Lebuhraya Pantai Barat (WCE), sekali gus berhubung secara lancar dengan Kuala Lumpur dan menjadi pemangkin jaringan mobiliti serta nilai hartanah.
“Kami berbangga memperkenalkan konsep pangsapuri Dual-Key dan Tri-Key pertama di Klang, yang menawarkan susun atur fleksibel membolehkan pemilik menikmati privasi sambil menyewakan sebahagian unit, atau mewujudkan kediaman pelbagai generasi yang mengimbangi keperibadian dan kebersamaan. Fleksibiliti ini menggabungkan pilihan gaya hidup dengan potensi pelaburan sebenar.
“Dengan semua kelebihan ini, Ambang Residensi ditawarkan pada harga lebih rendah daripada GM Remia Residence, sekali gus mewujudkan jurang harga yang signifikan serta potensi tinggi untuk peningkatan modal dan hasil sewaan. Ditambah dengan permintaan sewaan kukuh di Bandar Botanik serta kos pembiayaan yang semakin berpatutan, justifikasi pelaburan adalah jelas dan meyakinkan,” katanya.
Mengenai Rumah Mampu Milik, Lim berkata ia ditawarkan pada harga RM270,000 dengan keluasan 550 kaki persegi, dan pembeli boleh membuat permohonan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Ambang Residensi yang menawarkan unit dua hingga empat bilik tidur pada harga permulaan RM375,000 turut dilengkapi sistem keselamatan pelbagai peringkat. Direka dengan penekanan terhadap praktikaliti dan ruang, ia merupakan pilihan ideal untuk pasangan, keluarga muda, pembeli rumah kedua serta keluarga pelbagai generasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial