SUKAN

Tiada Penggantungan Terhadap Liek Hou - Hannah

21/09/2025 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan tiada sebarang penggantungan dikenakan terhadap jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou berhubung dengan polemik tuntutan ganjaran atlet para baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Liek Hou berhubung dengan kekeliruan mengenai istilah scam.

“Tentang polemik berkaitan dengan tuntutan ganjaran atlet para, Liek Hou, inilah hasil yang saya dan MPM bersetuju bahawa tiada sebarang penggantungan terhadap Liek Hou. 

"Untuk masa hadapan, semua ganjaran akan disertakan dengan template bertulis supaya lebih jelas dan telus (seperti template Road To Gold),” katanya menerusi laman Facebook hari ini. 

Beliau berkata kini semua pihak perlu bergerak ke hadapan agar atlet dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan dan pertandingan.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada pihak swasta lain yang tampil untuk menambah ganjaran MPM kepada lima pemenang pingat Paralimpik Paris 2024.

Sebelum ini, media melaporkan atlet berkenaan mendakwa MPM sebagai "penipu" menerusi media sosial kerana masih belum melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2024.

Keluhan jaguh badminton para negara itu turut mendapat perhatian Hannah yang tidak bersetuju dengan cara layanan MPM, yang mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap atlet itu.

Hannah menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya berkata Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin dan tindakan yang dilakukan atlet itu hanya menuntut perkara yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Paris, Perancis.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan