AM

PM Anwar Mahu Pemulihan Prasarana, Bantuan Mangsa Banjir Sabah Disegerakan

19/09/2025 09:24 PM

KOTA KINABALU, 19 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah serta membaik pulih kerosakan infrastruktur di negeri itu dilakukan segera. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerja-kerja memperbaiki kerosakan infrastruktur bangunan dan jalan raya akibat bencana alam itu dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.

Ia termasuk membina bangunan baharu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini.

“Saya tak mahu ikut proses biasa kerana banjir dan kerosakan ini bukan proses biasa. Kalau kita buat proses biasa, nak siapkan jalan, kemudahan (ambil masa) terlalu lama.

“Oleh itu, kita dah minta supaya proses itu dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya di sini, hari ini, diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar berkata usaha pemulihan prasarana serta penyaluran bantuan kepada mangsa bencana itu akan diselaraskan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan ia dapat dilakukan dengan kadar segera.

Buat masa ini, Anwar berkata beliau telah meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir di Sabah yang diumumkan pada 15 Sept lepas.

“Sekarang ini kita hanya bantu masalah keluarga – makan, minum dan penempatan mereka. Tetapi, kita lihat beberapa keperluan yang tentunya memerlukan peruntukan lebih pascapenyelesaian awal banjir.

“Bagaimanapun, kos anggaran keseluruhan (peruntukan pemulihan prasarana) yang diperlukan masih belum dikemukakan,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera agensi Kerajaan Persekutuan dan Sabah yang sentiasa siap siaga serta bertungkus lumus dalam proses memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS), selain usaha membaik pulih bekalan elektrik di kawasan terjejas.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri (Hajiji) dan kerajaan Sabah yang menjalankan usaha-usaha ini dalam langkah segera,” katanya.

Mengenai IPG Kampus Gaya, Anwar berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah mengemukakan laporan awal kepada Jemaah Menteri Rabu lepas, dan kerajaan akan menunggu laporan akhir berhubung perkara itu.

“Kita akan tunggu laporan kejuruteraan sama ada boleh kekal (atau) bangunkan semula di sini. Kita akan runding dengan kerajaan negeri mendapat satu kawasan baharu untuk dibangunkan dalam tempoh segera,” katanya.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat petang ini sebanyak 2,256 orang daripada 710 keluarga ditempatkan di PPS.

Bencana tanah runtuh di negeri itu setakat ini meragut 13 nyawa manakala seorang maut akibat banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan