SANDAKAN, 18 Sept (Bernama) -- Bekalan air yang terjejas di daerah Sandakan sejak Sabtu lepas dijangka pulih secara berperingkat selepas Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud kembali beroperasi bermula semalam.
Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong berkata beberapa hari lepas LRA Segaliud bergantung kepada set janakuasa untuk beroperasi menyebabkan catuan air terpaksa dilakukan apabila hanya satu pam sahaja yang berfungsi bagi membekalkan 80 juta air sehari (Mld) berbanding kapasiti asal 140 mld.
“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memaklumkan pagi tadi dua daripada tiga pam telah beroperasi. Bekalan air akan disalurkan ke kawasan yang kritikal dan tidak menerima bekalan air dalam tempoh lima hari ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Vivian berkata penduduk Kampung Sim-Sim yang berkepadatan tinggi dan tidak menerima bekalan air sejak lima hari lalu juga sudah menerima air setakat 2 petang tadi.
Beliau turut melahirkan kebimbangan kemungkinan saluran paip berisiko untuk pecah sekiranya tekanan air tidak stabil kerana banyak batang paip telah usang.
Oleh itu, penduduk daerah itu disaran agar menggunakan air secara berhemah dalam tempoh beberapa hari ini sehingga bekalan air stabil sepenuhnya.
“Sepanjang tempoh tiga hari lalu, pasukan sukarelawan bertungkus lumus menghantar bekalan air menggunakan lori tangki air ke kawasan terjejas seperti di Sungai Sibuga dan Taman Sejati Utama,” katanya.
Sementara itu, JANS menerusi laman rasmi Facebook hari ini memaklumkan LRA Segaliud kini menerima bekalan elektrik yang stabil serta telah beroperasi semula kira-kira 9 malam tadi setelah kerja-kerja baik pulih talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud selesai.
JANS memaklumkan kapasiti pengeluaran semasa dianggarkan sebanyak 130 mld dan ketika ini, Jabatan Air Sandakan sedang giat melaksanakan usaha bagi menstabilkan dan meningkatkan paras air di Takungan Pengimbang, Kebun Cina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial