AM

Bapa Sentiasa Cakna Nasib Rakyat - Anak Allahyarham Raja Ideris

17/09/2025 11:54 PM

SHAH ALAM, 17 Sept (Bernama) -- Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor Allahyarham Datuk Raja Ideris Raja Ahmad merupakan seorang pemimpin yang sentiasa memikirkan nasib rakyat, meskipun ketika kesihatannya kian merosot dan jarang tampil di khalayak.

Anak keduanya, Raja Azlan berkata sifat cakna serta komitmen Allahyarham dalam berkhidmat kepada masyarakat sudah sebati hasil pengalaman luas dalam dunia politik tanah air.

"Ahli keluarga, jiran tetangga, rakan politik atau sesiapa sahaja yang mengenali bapa saya sudah pasti mengetahui yang beliau kuat bekerja untuk rakyat meskipun tidak cukup rehat.

"Tolak tepi soal parti, saya berpendapat generasi baharu boleh mencontohi sikap Allahyarham yang sentiasa mencari jalan dan tidak pernah rehat bagi membela nasib rakyat," katanya kepada Bernama di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5, di sini hari ini.

Raja Azlan berkata Allahyarham sempat menerima kunjungan kaum kerabat dan rakan-rakan ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Selangor bulan lepas dan rata-rata mereka menghargai jasa bapanya ketika aktif berpolitik.

Allahyarham Raja Ideris yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak (1990-2008) dan Sungai Air Tawar (2008-2013) menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun di kediamannya di Seksyen 7, di sini, akibat sakit tua pagi tadi.

Allahyarham juga pernah menyandang jawatan exco kepada dua Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo dengan memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Perikanan, serta Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Asli dan Pembangunan Usahawan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Raja Ideris selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada 5.40 petang selepas disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Aziz Shah yang disertai kira-kira 400 jemaah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan