JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Perkasa Usaha Perangi Rasuah Dengan AI Dan Sistem Digital

17/09/2025 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital bagi mempercepatkan siasatan, menutup ruang ketirisan serta meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata jenayah rasuah masa kini tidak lagi hanya berlaku secara tradisional, sebaliknya bergerak pantas melalui transaksi digital termasuk mata wang kripto, akaun luar pesisir dan sistem kewangan maya.

“Di sinilah kecerdasan buatan atau AI tampil sebagai senjata strategik baharu dalam medan pertempuran menentang rasuah, bukan untuk menggantikan manusia tetapi memperkasakan agensi seperti SPRM agar lebih tangkas, proaktif dan efisien,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penggunaan AI membolehkan penyiasat menapis ribuan fail kewangan dalam masa beberapa minit, selain mengesan transaksi luar kebiasaan, membina jaringan pintar antara individu, syarikat dan data kewangan serta menganalisis potensi konflik kepentingan.

“Dengan penggunaan platform seperti ‘Sentinel: Criminal Intelligence Analytics’, tempoh siasatan kini boleh dipendekkan daripada bertahun-tahun kepada hanya beberapa bulan,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata AI juga digunakan sebagai sistem amaran awal yang mampu mengesan gaya hidup mewah luar kebiasaan, menganalisis projek awam berisiko tinggi serta memberi isyarat awal kebarangkalian berlakunya penyelewengan sebelum jenayah rasuah berlaku.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Maklumat (CIO) SPRM berkata selain memperkukuh siasatan, pelbagai sistem digital turut diperkenalkan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan perkhidmatan dan komunikasi dalaman.

Antara sistem berkenaan termasuk pengurusan aduan dan maklumat rasuah secara berpusat, pengurusan barang kes secara digital serta pemantauan prestasi pegawai yang kini dilaksanakan melalui platform khusus.

“Bagi menyelaras maklumat serta komunikasi antara agensi lain khususnya dalam pengurusan risiko rasuah atau pembangunan pelan antirasuah organisasi, SPRM turut menggunakan sistem untuk memudahkan interaksi,” katanya.

Beliau berkata SPRM turut memperkenalkan sistem pemantauan dan pelaporan unit integriti di agensi awam serta pangkalan data khas untuk mengurus aktiviti pencegahan dan pendidikan.

Dalam aspek komunikasi awam, Ahmad Khusairi berkata SPRM turut memperkenalkan avatar maya pegawai yang dikenali sebagai SARA (Saya Antirasuah) di platform TikTok bagi menyampaikan mesej antirasuah secara lebih dekat dengan masyarakat.

Beliau berkata penggunaan AI dalam pengurusan media di SPRM mendapat pengiktirafan apabila meraih beberapa anugerah termasuk Anugerah Emas di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025.

Ahmad Khusairi berkata gabungan AI dan teknologi blockchain membuka ruang kepada ketelusan mutlak dalam sistem perolehan awam, pembayaran projek infrastruktur serta pengagihan subsidi, sekali gus mengurangkan risiko manipulasi dana awam.

“AI bukan menggantikan manusia, tetapi memperkuat mereka yang berjuang menentang rasuah sekali gus mengekalkan keyakinan rakyat dan dunia terhadap komitmen negara membina pentadbiran yang telus, cekap dan bebas rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam keghairahan memanfaatkan teknologi digital dan AI, SPRM turut mengakui wujudnya risiko keselamatan dan kerahsiaan data yang perlu ditangani secara berhati-hati.

“Bagi mengatasi cabaran ini, SPRM memperkukuh kawalan dengan melaksanakan dasar governans data yang ketat, mekanisme semakan manusia secara berkala serta teknologi sistem perlindungan siber berlapis,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi memastikan SPRM sentiasa ke depan dalam aspek penguatkuasaan melibatkan siasatan jenayah rasuah mahupun bagi melancarkan sistem pengurusan dalam pentadbiran, SPRM turut mengaplikasikan pengunaan teknologi AI dan sistem digital. 

Ahmad Khusairi berkata antara penggunaan AI adalah seperti Applied AI Tools and Open-Source Intelligence (OSINT), AI Chatbot, Tungsten TotalAgility (TTA), Natural language Processing (NLP) dan IDEA Caseware bagi tujuan pemprofilan, pengesanan maklumat digital dan analisis awal.

“Kewujudan perisian berteraskan AI ini juga mampu mengesan ralat atau data yang hilang secara automatik contohnya nombor akaun yang tak sah atau kewujudan kesalahan format seperti tarikh.

“Antara kelebihan AI ini juga, ia membantu dalam menganalisis serta menyusun data tidak berstruktur dengan menghasilkan imej paparan pemuka dan peta jaringan selain membantu menjana data analitik yang merumus seterusnya mengesan trend atau corak perbuatan,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata bagi mengurus data-data berpandukan sumber imbasan imej kepada teks digital yang boleh dicari, disunting serta dianalisis dengan lebih pantas serta efisien, SPRM turut menggunakan perisian seperti Adobe Acrobat Pro DC dan ABBYY FineReader dalam mempercepat penyediaan data.

Beliau berkata bagi memastikan pengurusan perkhidmatan di SPRM dapat bergerak secara efektif dalam urusan dalaman atau luaran dengan agensi dan pihak-pihak berkepentingan lain, SPRM turut memperkenalkan penggunaan sistem digital seperti Complaint Management System (CMS) serta Corruption Reporting Information System (CRIS) bagi pengurusan aduan dan pengurusan maklumat rasuah secara berpusat.

Sistem Pengurusan Eksibit (EMS) pula untuk mengurus barang kes secara digital, MACC Fingerprint Information System (MACCFIS) bagi pengurusan cap jari secara digital untuk pesalah rasuah serta sistem MACCKPI dan Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK) bagi pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pegawai-pegawai dan kakitangan SPRM.

Beliau berkata bagi menyelaras maklumat serta komunikasi antara agensi-agensi lain khususnya dalam pengurusan risiko rasuah atau pembangunan pelan antirasuah organisasi, SPRM turut menggunakan sistem dikenali sebagai Sistem OACP dan CRM bagi memudahkan interaksi.

Malah, katanya SPRM turut memperkenalkan sistem Pelaporan Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional SPRM (eSPJ) bagi menyelaras laporan Jawatankuasa Tatakelola di peringkat kementerian dan telah mengaplikasikan penggunaan Agency Integrity Management System (AIMS) yang bertindak sebagai sistem pemantauan dan pelaporan fungsi unit integriti di agensi awam.

Selain itu, Ahmad Khusairi berkata sistem PenMas Reporting Information and Database (PRIDE) juga diperkenal dalam mengurus serta memantau aktiviti atau program pencegahan dan pendidikan.

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan