PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Generasi muda diingatkan berwaspada terhadap kesan buruk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) jika ia tidak digunakan dengan penuh tanggungjawab, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) berkata antara cabaran baharu yang perlu diberi perhatian ialah teknologi “deepfake” yang mampu mencetuskan fitnah sekiranya disalahgunakan.
"Pesanan saya jadilah pengguna teknologi yang bijak, beretika, dan bertanggungjawab," katanya kepada media selepas majlis perasmian Jade Camp Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran PPPM di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.
Dr Wan Azizah berkata AI boleh ditanya mengenai pelbagai perkara termasuk agama, namun pengesahan perlu diperoleh daripada sumber berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan akibat fenomena halusinasi AI.
"Peganglah kepada yang hak, jauhi yang batil. AI ini hanyalah alat untuk membantu perkembangan dan kemajuan hidup kita tetapi ia mesti digunakan dengan penuh tanggungjawab," katanya.
Dr Wan Azizah berkata generasi muda, khususnya ahli Pandu Puteri perlu bijak memanfaatkan teknologi digital dan AI dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata kemajuan internet, media sosial dan AI seharusnya menjadi alat pembelajaran, inovasi serta pembangunan diri, namun perlu dikawal supaya tidak mendatangkan mudarat.
"Pelajarilah bagaimana AI boleh membantu anda dalam pembelajaran, memudahkan tugasan dan membuka minda kepada inovasi tetapi pastikan kita tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi ini," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan generasi muda agar sentiasa berjaga-jaga terhadap penipuan siber, khususnya melibatkan “scammer” dan risiko “dark web” yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
"Gunakanlah media sosial secara positif. Kongsikan gambar dan video aktiviti anda dengan kapsyen yang membina, memberi inspirasi kepada rakan-rakan, dan menyebarkan semangat positif kepada orang lain. Namun, sentiasa ingat untuk menjaga adab dan berwaspada terhadap ancaman keselamatan siber.
"Jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan, jangan kongsikan maklumat palsu atau berita yang tidak benar," katanya.
Mengenai Jade Camp, Dr Wan Azizah berkata semangat Pandu Puteri yang mementingkan khidmat kepada masyarakat dan negara amat bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni".
Beliau berkata dalam perkhemahan itu peserta yang datang daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang akan tinggal dan belajar bersama serta bekerjasama sebagai satu pasukan yang mencerminkan potret Malaysia sebenar, iaitu sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian tetapi hidup dalam harmoni.
"Harap anak-anak dapat menghargai nilai ini iaitu perpaduan. Inilah kekuatan kita, sesuatu yang tidak dapat dijual beli," katanya.
Jade Camp yang berlangsung tiga hari bermula hari ini disertai 1,000 Pandu Puteri remaja dan pemimpin dari 18 cawangan seluruh negara.
Program berskala kebangsaan itu membuka peluang penyertaan menyeluruh, merentas cabaran geografi serta menghubungkan ahli dengan pelbagai program antarabangsa di bawah Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).
Perkhemahan besar itu menjadi platform penting membentuk kepemimpinan, semangat kesukarelawanan dan keterampilan diri remaja wanita sekolah menengah rendah berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Dengan sejarah lebih 109 tahun, PPPM berperanan sebagai wadah pemerkasaan beliawanis, melahirkan generasi wanita berdaya tahan, berakhlak mulia, berdisiplin dan mampu memimpin di pelbagai peringkat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial