AM

Galen Centre Sokong Kerajaan Haramkan Vape

11/09/2025 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept  (Bernama) -- Galen Centre for Health and Social Policy memuji keputusan kerajaan untuk melaksanakan pengharaman sepenuhnya secara berperingkat penjualan rokok elektronik (e-rokok) dan produk vape.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Mohd Khalib dalam kenyataan berkata Malaysia akhirnya mengambil langkah tepat dalam menangani krisis kesihatan awam yang semakin membimbangkan itu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi kesihatan rakyat terutama golongan muda daripada bahaya ketagihan vape dan nikotin.

“Pendekatan berperingkat yang dimulakan dengan pengharaman peranti vape sistem terbuka yang mudah diubah suai, disalah guna, dan dicampur dengan cecair vape yang telah tercemar serta mengandungi bahan terlarang seperti ‘etomidate’, adalah langkah tepat. Kita perlu bersikap tegas dan pragmatik.

“Kami menyokong pendirian yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapan bertulis di Dewan Negara baru-baru ini,” katanya. 

Azrul berkata Malaysia sudah terlalu lama ketinggalan berbanding negara lain yang telah mengharamkan vape dan rokok elektronik, dan walaupun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah diperkenalkan, penguatkuasaannya masih belum dilaksanakan sepenuhnya dan hanya akan berkuat kuasa menjelang tarikh akhir pada Oktober ini.

“Larangan mempamer produk sebahagian besarnya tidak dipatuhi atau diabaikan. Produk vape yang mengandungi nikotin tinggi dan tidak dikawal selia juga masih mudah diperoleh selain dipasarkan secara agresif kepada golongan muda, dan kini menjadi antara punca utama ketagihan nikotin.

“Pengumuman itu menunjukkan kepimpinan, keberanian dan pengiktirafan bahawa kesihatan awam perlu diutamakan,” katanya.

Beberapa kerajaan negeri, termasuk Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang, telah mengambil langkah untuk tidak mengeluarkan lesen penjualan vape, manakala negeri lain sedang mempertimbangkan untuk mengambil langkah sama. 

--BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan