SEREMBAN, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan bersedia dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape secara menyeluruh, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin.
Beliau bagaimanapun sekali lagi berkata usaha tersebut perlu seiring dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas supaya pelaksanaannya benar-benar berkesan.
"Kita patuh apa juga keputusan dan cadangan yang diputuskan oleh kementerian (Kementerian Kesihatan) tetapi kita juga perlukan pelaksanaan undang-undang yang boleh menghalang penjualan tersebut.
"Kita tak nak bila kita kata haram tidak boleh jual tetapi mereka boleh melakukan jualan secara tidak sah di luar, jadi yang penting bagi saya adalah pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang yang betul-betul mampu menghalang penjualannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) kali ke-10 membabitkan 250 graduan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan kerajaan Persekutuan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapan bertulis di Dewan Negara dilaporkan berkata pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape hingga meliputi keseluruhan produk.
Sementara itu, Aminuddin berkata KYNS bukan sekadar menjadi pemacu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MADANI di Negeri Sembilan tetapi bukti komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pendidikan yang relevan, inklusif dan berpaksikan masa depan yang cerah.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen padu dalam bidang pendidikan, khususnya bidang TVET yang kini semakin mendapat permintaan dalam kalangan golongan muda.
"Pada tahun ini kerajaan negeri memberi KYNS peruntukkan tambahan RM2.9 juta untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran.
Selain itu, RM10 juta melalui geran padanan kerajaan negeri dan YNS (Yayasan Negeri Sembilan) diberikan kepada KYNS bagi pembinaan dewan utama di Kampus Gentam, Kuala Pilah bagi kemudahan pembelajaran dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.
Aminuddin turut berharap KYNS memperluas kerjasama dengan pelbagai sektor dan meneroka bidang seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), maritim, perundangan serta minyak dan gas bagi memastikan lulusannya benar-benar bersedia untuk industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial