KUALA LUMPUR, Sept 9 (Bernama) -- Kenaikan pemberian mengikut bilangan orang sebanyak 25 peratus atau RM109.2 juta kepada kerajaan negeri memberi implikasi kewangan berjumlah RM547.6 juta kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan persekutuan pada 2026, menurut Kementerian Kewangan.
Katanya, kenaikan itu dibuat selepas mengambil kira maklumbalas daripada kerajaan negeri untuk dikaji semula selepas tidak disemak selama 23 tahun, dan kali terakhir ia disemak adalah pada 2002.
“Semakan kadar baharu kepada pemberian ini bertujuan membantu kerajaan negeri dengan peningkatan kos mengurus negeri dalam memberikan perkhidmatan kepada setiap penduduk,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian Kewangan menjawab soalan daripada Senator Abdul Nasir Idris yang ingin mengetahui rasional di sebalik kenaikan geran per kapita sebanyak 25 peratus kepada RM548 juta pada tahun 2025 dan langkah memastikan pemberian geran per kapita yang seimbang kepada negeri-negeri.
Menurut kementerian itu, pemberian mengikut bilangan orang merupakan pemberian selaras dengan peruntukan Perkara 109(1)(a), Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan membantu perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.
Katanya, kenaikan kadar geran per kapita juga telah dilaksanakan secara progresif iaitu kenaikan 42 peratus untuk 100,000 penduduk pertama, 37 peratus bagi 500,000 orang berikutnya dan 25 peratus bagi 500,000 seterusnya serta 15 peratus bagi penduduk yang selebihnya.
“Kenaikan itu merupakan langkah progresif bagi memastikan peratusan kenaikan pemberian yang lebih tinggi kepada negeri yang mempunyai penduduk yang lebih rendah seperti Perlis dan Melaka, berbanding negeri yang mempunyai penduduk yang lebih besar seperti Selangor dan Johor yang mempunyai sumber kewangan yang lebih kukuh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial