KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) – Kerjasama antara Malaysia dan syarikat teknologi global ARM Ltd dijangka memberi pulangan pelaburan (ROI) dalam tempoh 10 tahun, kata Kementerian Ekonomi.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa, kementerian berkata ROI itu antaranya membantu peningkatan nilai eksport produk elektrik dan elektronik kepada RM865.9 bilion pada 2030 berbanding RM601.2 bilion pada 2024.
“Selain itu, membantu peningkatan nilai tambah subsektor elektrik dan elektronik kepada RM157.2 bilion pada 2030 berbanding RM115.5 bilion pada 2024,” katanya menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sasaran ROI bagi pelaburan dalam Arm Holdings Plc dan jangka masa untuk mencapainya.
Menurutnya kerjasama itu juga akan melatih 10,000 jurutera tempatan dalam teknologi reka bentuk litar bersepadu kompleks dalam kalangan graduan kejuruteraan dan jurutera muda tempatan melalui program latihan yang bersasar serta 100 jurutera dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan reka bentuk litar bersepadu.
Nilai komited bagi kerjasama ini adalah sebanyak US$225 juta di bawah Perjanjian Kerjasama dalam Industri Semikonduktor antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ARM Limited yang dimeterai pada 3 Mac 2025, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial