JENAYAH & MAHKAMAH

Jenazah Dua Beradik Lemas Di Sungai Tanjung Agas, Port Dickson Selamat Dikebumikan

09/09/2025 07:07 PM

PORT DICKSON, 9 Sept (Bernama) -- Jenazah dua beradik lemas di Sungai Tanjung Agas, Linggi di sini pada 4 Sept selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana kira-kira 5.30 petang tadi.

Pengurusan jenazah kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan lelaki berusia enam tahun itu dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Turut kelihatan, anggota polis membawa seorang suspek yang dipercayai bapa kepada dua beradik itu ketika pengebumian, namun suspek hanya berada di dalam kereta dengan kawalan ketat polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin dan pegawai JHEAINS turut berada di tanah perkuburan itu dan dihadiri beberapa penduduk setempat.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan hari ini memutuskan dua beradik itu beragama Islam dan pengebumian diuruskan oleh JHEAINS.

Alzafny sebelum ini turut melaporkan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah kereta Nissan terjatuh ke dalam sungai Tanjung Agas, dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalamnya pada 11.45 pagi, 4 Sept.

Beliau berkata siasatan mendapati kanak-kanak yang beralamat di Shah Alam, Selangor itu dipercayai lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan.

Alzafny turut melaporkan seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak itu dan teman wanitanya, 41, direman tujuh hari bermula 5 Sept, bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, seorang individu yang berada di lokasi kejadian, Ade Mos, 47, turut berduka dengan pemergian dua beradik berkenaan dan kelihatan amat bersedih atas kehilangan mereka ketika ditemui di tanah perkuburan di sini.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata walaupun hanya sempat mengenali keluarga mangsa selama seminggu, dua beradik itu disifatkan sebagai periang, petah bercakap dan mesra.

“Saya sangat sebak kerana apabila teringat kali pertama bertemu mereka, anak-anak ini begitu ceria, seolah-olah seperti anak kandung sendiri.

“Antara kenangan bersama ialah ketika memancing, mereka banyak bertanya mengenai nama-nama ikan. Walaupun pertemuan itu singkat, kasih sayang yang terjalin meninggalkan kesan mendalam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan