ALOR SETAR, 9 Sept (Bernama) -- Tiada keperluan untuk menubuhkan skuad khas bagi menangangi isu buli di sekolah setakat ini, kata Ketua Polis Kedah Datuk Adzly Abu Shah.
Beliau berkata kes buli membabitkan pelajar di negeri itu meningkat kepada 30 kes pada Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding 10 kes pada tempoh sama tahun lepas.
“Setakat ini tiada keperluan menempatkan skuad khas kerana kita dah ada pegawai perhubungan sekolah, cuma bila timbul isu buli kita akan buat pemeriksaan terutama di asrama, sampai tahap kita pergi malam. Ketua polis daerah pun pergi melawat asrama untuk menghindarkan isu buli.
“Lawatan tak ada jadual, tapi kita tengok dan fikirkan masa yang sesuai mungkin malam, hujung minggu, hari tak sekolah… bukan semua sekolah, cuma sekolah berpotensi. Saya dah beri arahan kena kerap turun dan dah merangka masa saya akan turun juga jika ada kelapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Town Hall Discussion PDRM Kontinjen Kedah membincangkan tajuk “Buli, Cabaran, Tanggungjawab dan Penyelesaian Bersama” melibatkan pihak sekolah serta pelajar di sini hari ini.
Adzly berkata pihaknya akan memberi tumpuan khususnya kepada sekolah-sekolah mempunyai masalah disiplin yang serius.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya masih menunggu maklum balas siasatan berkaitan penahanan seorang rakyat Malaysia di Sadao, Thailand bersama senjata api serta ratusan peluru baru-baru ini.
“Sudah tentu sempadan ni di bawah tanggungjawab polis Kedah… Kita masih menunggu maklum balas macam mana modus operandi suspek, macam mana dia bawa masuk (senjata), memang kita sentiasa mengetatkan kawalan di sempadan.
“Kita juga akan menyiasat jika ada unsur ketirisan. Kita tak kompromi jika ada anggota terlibat. Tahun ni saja kita tahan kerja 56 orang, kita tak kompromi apatah lagi kes ketirisan, senjata api dan dadah,” katanya.
Media Thailand sebelum ini melaporkan lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 5.35 petang di sebuah sekatan jalan raya oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao dan pemeriksaan terhadap kenderaan jenis KIA bernombor pendaftaran Malaysia dipandu suspek menemukan dua laras raifal M4 bersama 300 butir peluru kaliber 5.56 milimeter (mm).
Turut dirampas tujuh magazin peluru 5.56mm, 100 butir peluru kaliber .45mm dan 50 butir peluru kaliber 9mm.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial