AM

PNB, KPKM Meterai MoU Perkukuh Penyelidikan Agromakanan

09/09/2025 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui cabang penyelidikannya, PNB Research Institute (PNBRI), hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memperkukuh penyelidikan sektor agromakanan negara.

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata kerjasama strategik itu sejajar komitmen PNB untuk menjana nilai jangka panjang melangkaui pulangan pelaburan, selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Kesediaan Kementerian untuk berkongsi data dan maklumat relevan amat penting serta besar maknanya kepada kami. Sebagai timbal balik, PNBRI akan memberi sepenuh komitmen untuk menjalankan penyelidikan yang mendalam dan berkualiti.

“Saya yakin kolaborasi ini dapat membantu kerajaan menghasilkan dasar yang lebih berkesan, selain memberi impak signifikan kepada industri pertanian, keterjaminan makanan dan pembangunan negara secara keseluruhan,” katanya pada majlis menandatangani MoU di sini.

Majlis itu menyaksikan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak menandatangani MoU bagi pihak kementerian manakala PNBRI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Sarena Che Omar, dengan disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Raja Arshad.

Raja Arshad berkata kerjasama berkenaan turut menyokong inisiatif GEAR-uP, program di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang menyelaras usaha syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam merangsang pertumbuhan sektor utama ekonomi negara.

Sementara itu, Mohamad berkata kerjasama strategik itu merangkumi tiga bidang utama iaitu perkongsian kepakaran dan penyelidikan dalam analisis data pertanian dan agromakanan; pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian; serta memanfaatkan data daripada Banci Pertanian 2024.

“MoU ini adalah langkah proaktif KPKM untuk merangka dasar lebih kukuh berdasarkan data dan bukti sahih sekali gus memberi manfaat besar kepada ekosistem agromakanan negara.

“Kolaborasi ini diharap menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang menjadi asas kepada dasar bersepadu selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030 atau DAN 2.0,” katanya.

Beliau menambah MoU itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam usaha memodenkan sektor pertanian serta membuka era baharu kerjasama antara sektor awam dan GLIC.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan