AM

SPRM Sarawak Bantu Perkukuh Tatakelola MDS

09/09/2025 04:05 PM

 

SARATOK, 9 Sept (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah mengadakan sesi pembentangan penambahbaikan tatakelola bersama Majlis Daerah Saratok (MDS) bagi memperkukuh tatakelola dan ketelusan dalam pengurusan permohonan lot tapak jualan sempena Pesta Saratok yang menjadi acara tahunan masyarakat setempat.

 

Sesi pembentangan yang diketuai oleh Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh berkata, SPRM memberi fokus kepada penambahbaikan proses pengurusan permohonan, termasuk garis panduan lebih telus, adil dan sistematik bagi mengelak sebarang bentuk salah guna kuasa, ketirisan atau konflik kepentingan dalam kalangan pihak yang terlibat.

 

Beliau berkata, melalui sesi ini, sebanyak 12 syor penambahbaikan telah diketengahkan dan dipersetujui dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan termasuk penetapan garis panduan jelas dalam permohonan lot tapak jualan, pelaksanaan proses pemilihan berasaskan merit dan ketelusan serta penambahbaikan dalam pelaporan serta pemantauan dalaman.

 

“Penyiasatan tatakelola ini dijalankan melalui Kertas Penyiasatan Tatakelola (KPT) berdasarkan maklumat yang diterima mengatakan terdapat kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara permohonan lot tapak jualan sempena Pesta Saratok 2024 dibawah pengurusan MDS yang membuka ruang dan peluang berlakunya risiko serta jenayah rasuah.

 

“Antara kelemahan dikenalpasti ialah tiada mekanisme pengundian telus dalam menentukan lot tapak, tiada harga siling sewaan lot, proses permohonan tidak seragam dan pegawai membocorkan maklumat kepada pihak luar,” katanya pada sesi pembentangan yang diadakan di pejabat MDS, di sini, semalam.

 

Beliau berkata, syor penambahbaikan lain ialah melaksanakan pengundian secara terbuka dengan saksi bebas, mengadakan taklimat awal sebelum undian kepada semua pemohon, mewujudkan borang permohonan standard dan platform permohonan rasmi seperti nombor siri borang serta tindakan tatatertib terhadap pegawai yang membocorkan maklumat kepada pihak luar.

 

Hasbilah berkata, SPRM Sarawak akan terus bekerjasama dengan MDS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Sarawak bagi memastikan prinsip integriti, akauntabiliti serta ketelusan menjadi amalan utama dalam setiap urusan pentadbiran dan perkhidmatan awam.

 

Turut hadir Setiausaha MDS, McCrea Joseph Pererra; ahli-ahli MDS; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola Sektor Swasta, Mohd Ramzul Azim Mohammad dan Pegawai Penyiasatan Tatakelola SPRM Sarawak, Johari Lahat. 

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan