PEKAN, 7 Sept (Bernama) -- Biarpun empat kali gagal untuk menyertai anggota tentera, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat tiga beradik kembar seiras untuk mencari peluang lain demi merealisasikan cita-cita mereka menyertai pasukan keselamatan.
Bagi Muhammad Nuriman Mohd Irwan bersama dua adiknya Muhammad Nuramin dan Muhammad Nurnaim dari Putrajaya, penyertaan mereka secara sukarela dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di sini, menjadi batu loncatan untuk mereka diterima sebagai anggota pertahanan negara.
Muhammad Nuriman berkata mereka bertiga yang berusia 20 tahun sememangnya meminati pasukan beruniform sejak kecil terutamanya bidang ketenteraan hingga mendorong menyertai kursus asas perajurit muda sukarela (APMS) Askar Wataniah pada Julai lepas.
“Setelah tamat latihan wataniah bulan lepas, kami sambung pulak di PLKN. Ibu telah mendaftarkan kami secara sukarela kerana tahu minat anak-anaknya dalam bidang ketenteraan ini.
“Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kami ada memohon tentera, tetapi tidak dapat, namun itu bukan alasan untuk kami berhenti mencari peluang dalam bidang ketenteraan termasuk dengan menyertai PLKN," katanya kepada pemberita ketika mendaftar PLKN di kem berkenaan hari ini.
Ditemani ibu dan bapa iaitu pasangan penjawat awam Mohd Irwan Ismail, 52, dan Yusnizah Mohd Yusof, 51, tiga beradik itu berharap penyertaan mereka dalam PLKN akan menjadi nilai tambah untuk memohon menjadi anggota tentera selepas tamat latihan berkenaan kelak.
“Di PLKN ini, saya harap dapat memantapkan lagi asas ketenteraan dan disiplin kami terutama dalam kawad serta menembak di samping mendapat kenalan baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum,” kata Muhammad Nurnaim.
Sementara itu, Yusnizah berkata dia telah mendaftarkan anak ketiga, keempat dan bongsu itu ketika menghadiri Program MADANI Rakyat di Terengganu kerana memahami dan mengetahui kecenderungan anak-anaknya.
“Ini semua untuk kebaikan mereka dan PLKN memang bagus untuk meningkatkan disiplin dan mereka juga memang minat tentera sejak daripada kecil kerana beberapa ahli keluarga kami juga sedang dan pernah bekerja dalam Angkatan Tentera Malaysia,” kata ibu kepada lima anak itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara Kolonel Samad Igom berkata sebanyak 477 individu memohon penangguhan untuk menyertai PLKN siri kali ini antaranya kerana faktor kesihatan dan menyambung pengajian.
Beliau berkata mereka yang memohon penangguhan diberi dua kali peluang untuk berbuat demikian dan perlu mengemukakan alasan kukuh.
Menurut beliau, sebanyak 279 wiramuda lelaki telah mendaftar di Kem 505 hari ini setakat 12 tengah hari manakala lebih 20 individu dari Sabah dan Sarawak dijangka tiba petang ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial