AM

Lebih 1,500 Penduduk Di Kampung Telosan Nikmati Manfaat Projek Air Bersih

06/09/2025 09:20 PM

PASIR PUTEH, 6 Sept (Bernama) -- Lebih 1,500 penduduk di sekitar Kampung Telosan di sini akhirnya menikmati bekalan air bersih menerusi Projek Air Bersih Untuk Komuniti, iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Etiqa dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab Halim berkata penduduk sebelum ini hanya bergantung kepada sistem bekalan air graviti dari Bukit Tongkat yang tidak lagi mampu menampung peningkatan permintaan.

“Kawasan tadahan yang kecil, paip polivinil klorida dan polipropilena yang uzur, kerap bocor serta tekanan air yang rendah terutamanya ketika musim kemarau menyebabkan banyak rumah dan kawasan pertanian terjejas.

“Kekurangan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian, malah memberi kesan terhadap sumber rezeki utama penduduk yang bergantung kepada pertanian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zafri berkata bagi mengatasi masalah itu, projek naik taraf sistem air ini merangkumi dua unit tangki air polietilena berketumpatan tinggi berkapasiti 3,000 gelen setiap satu, penggantian dan sambungan paip sepanjang 3.5 kilometer, sistem penapisan air berasaskan membran sintetik dan penambahbaikan struktur muka sauh baharu.

“Projek ini turut dilaksanakan dengan semangat gotong-royong bersama sukarelawan IAM dan penduduk kampung. Selain rumah kediaman, kemudahan awam seperti masjid, madrasah, klinik dan Pusat Asuhan Tunas Islam turut menerima manfaat daripada sistem baharu ini,” katanya.

Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata inisiatif itu bukan sahaja menyediakan akses kepada air bersih yang meningkatkan kualiti hidup penduduk, malah kerjasama seperti ini memberi impak yang positif dan berkekalan kepada komuniti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan