KUCHING, 4 Sept (Bernama) -- Menyelesaikan projek pembangunan mengikut jadual menjadi keutamaan bagi setiap projek di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
“Pelbagai pendekatan strategik dibincangkan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat Sarawak. Dengan kerjasama dan iltizam semua pihak, saya yakin setiap inisiatif pembangunan di Sarawak dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.
“Keutamaan kita adalah memastikan setiap projek bukan sahaja siap mengikut jadual tetapi juga memberi manfaat jangka panjang pada rakyat dan kemajuan negeri,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Fadillah berkata mesyuarat itu penting bagi memastikan kelancaran projek-projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di seluruh Sarawak dengan tumpuan utama terhadap perancangan serta pelaksanaan projek.
“Mesyuarat turut membincangkan perancangan kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Sarawak demi memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan dan inklusif.
“Kami menilai secara menyeluruh status semasa pelaksanaan projek-projek pembangunan, termasuk analisis prestasi, peruntukan perbelanjaan, serta cabaran seperti kekangan dana dan kelewatan penyempurnaan projek, bagi merangka penyelesaian lebih efektif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial