KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski menyifatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 malam ini sebagai pengajaran penting buat skuad Harimau Malaysia.
Jurulatih dari Australia itu memuji persembahan anak buahnya, namun menekankan masih banyak aspek perlu diperbaiki selepas membenarkan lawan merapatkan defisit gol.
"Tiada perlawanan mudah. Kami menghormati lawan dan banyak pengajaran boleh diambil untuk perlawanan seterusnya. Secara keseluruhan, banyak perkara positif dapat dilihat walaupun beberapa aspek masih perlu diperbaiki," katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam perlawanan itu, Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan melalui Stuart Wilkin pada minit ke-26, diikuti Joao Figueiredo pada minit ke-55, sebelum Singapura merapatkan jurang melalui Ilhan Fandi pada minit ke-72.
Ketua jurulatih Singapura Gavin Lee mengakui Malaysia mempamerkan kualiti lebih tinggi.
"Kami menjangkakan perlawanan sukar dan ini menjadi pengajaran untuk Kelayakan Piala Asia 2027 bulan depan. Dari segi persembahan, kami kurang tenang dalam beberapa situasi, manakala lawan menunjukkan kualiti tinggi di bahagian serangan," katanya.
Malaysia seterusnya akan menentang Palestin dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Isnin depan.
-- BERNAMA
vski
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial