EKONOMI

PM Anwar Pelawa Geely Tingkat Pelaburan Bangunkan AHTV

04/09/2025 03:47 PM

TANJONG MALIM, 4 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa syarikat gergasi automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk meningkatkan pelaburan dalam usaha membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di sini. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata AHTV akan menjadi pusat penting untuk rantaian bekalan automotif serantau hasil daripada pelaburan besar syarikat automotif negara, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).

“Kita mahu menjadikan ini (AHTV) sebagai pusat penting bagi Geely dan saya beritahu kepada Pengerusi Li Shufu bahawa Geely perlu menggunakan peluang ini untuk adakan bukan sahaja kilang menghasilkan kereta, malah sebagai pusat kecemerlangan untuk latihan dan pendidikan,” kata beliau pada majlis peluncuran Kilang EV Proton hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Anwar turut menegaskan kerjasama antara kerajaan negeri dan kementerian yang berkaitan amat penting untuk menjayakan pelaburan di kawasan AHTV.

Dalam pada itu, Anwar berkata peluncuran Kilang EV Proton dapat menurunkan kos penghasilan kereta elektrik dan mampu bersaing dalam memenuhi keperluan masyarakat yang berpendapatan sederhana. 

“Dengan produk ini, ia memenuhi keperluan rakyat yang berpendapatan rendah untuk membeli kereta dengan kos yang lebih rendah dan kemudahan yang lebih baik,” kata beliau.

Perdana Menteri turut memaklumkan peluncuran Kilang EV Proton juga membuka ruang lebih luas untuk menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Mesir, Afrika Selatan dan Brazil.

“Semasa di Beijing, Perdana Menteri Mesir (Mostafa Madbouly) bertemu saya dan menyatakan kebanggaannya kerana prestasi Proton Mesir amat menggalakkan dan antara kereta baharu yang popular dan senang dimiliki oleh rakyat Mesir. 

“Itu menunjukkan keupayaan kita untuk menceburi industri dalam lapangan luar negara, memecah tembok yang dahulunya terhalang,” kata beliau, sambil menambah ini merupakan kerjasama dalam bidang ekonomi yang terhasil melalui hubungan peribadi dan diplomatik yang baik.

Anwar turut memaklumkan terdapat usaha untuk menembusi pasaran di Afrika Selatan dan Brazil bagi kenderaan keluaran Proton dan hasrat itu telah dinyatakan kepada kepimpinan kedua-dua negara itu.

Perdana Menteri berkata Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini. 

“Saya telah meminta pihak Proton menyediakan satu ruang semasa sidang utama serta membawa pemimpin ini dan rombongan dari negara lain untuk melihat sendiri keupayaan, prestasi dan teknologi Proton supaya kita sekali lagi dapat menembusi pasaran luar,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan