KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata gabungan itu tidak tersepit dalam keputusan berkenaan, malah akan terus berbincang bagi mencari penyelesaian.
“PH akan terus berbincang juga dengan BN dan GRS. Kita akan terus berunding, apa pun berunding dengan baik dan mencari penyelesaiannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Temu Mesra Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya negeri berkenaan.
Ahmad Zahid berkata sebaliknya parti itu memutuskan hanya akan bekerjasama dengan PH pada PRN17 Sabah.
Mengikut peruntukan, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial