JELEBU, 2 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memantau harga runcit beras putih tempatan secara berterusan bagi memastikan ia kekal pada kadar RM2.60 sekilogram sementara kajian semula dilaksanakan.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu dibuat bagi memastikan rakyat terus memperoleh bekalan beras pada harga berpatutan susulan penamatan Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi, Ahad lepas.
“Kita kekalkan harga BPT pada RM2.60 perkilo setakat ini, kerajaan mengeluarkan subsidi kira-kira RM150 juta dan sekarang ini harga tersebut masih berterusan sehingga kita membuat kajian semula. Tiada aduan kenaikan harga BPT diterima setakat ini (susulan penamatan program)
“Jadi kita pantau dari semasa ke semasa dan saya juga akan ambil laporan setiap kali mesyuarat pasca-Kabinet, saya akan sentiasa minta laporan keadaan beras itu supaya ia sentiasa macam sekarang (harga terkawal), harga beras putih import juga tak tinggi tapi kita tak boleh bergantung sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek tanaman padi Skim Padi Sungai Buluh yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias di sini hari ini.
Sabtu lepas, KPKM dalam kenyataan memaklumkan akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih susulan Program Khas BPT Bersubsidi akan tamat, bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.
Menurut KPKM, penilaian itu turut mengambil kira penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) pada kadar RM2,600 setan metrik di pintu gudang Padi beras Nasional Berhad (BERNAS) yang berkuat kuasa 15 Mei lepas, serta langkah menangani amalan pencampuran beras di pasaran.
Dalam pada itu, Mohamad berkata KPKM dalam usaha meningkatkan semula program Kadar Sara Diri (SSR) beras negara termasuk membangunkan semula sawah tertinggal atau kawasan terbiar dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Kita tak mahu apabila berlaku perkara geopolitik atau contohnya apabila India hentikan eksport beras atau perang Ukraine-Rusia...kita kena bersedia, kita mahu sekurang-kurangnya tahap kecukupan beras negara pada masa akan datang mencapai 90 peratus, kita boleh jamin sekuriti makanan,” katanya.
Beliau berkata bekalan beras dalam negara mencapai 71 peratus sebelum ini dan menurun kepada 56 peratus, antara lain disebabkan kehilangan 20,000 hektar tanah akibat pembangunan perumahan, industri dan tanah tidak diusahakan.
Beliau berkata minat golongan muda untuk mengusahakan sawah padi secara berskala besar juga dilihat semakin menggalakkan kebelakangan ini dan perkembangan itu diberi perhatian khas.
“Ia termasuk permintaan menubuhkan semula Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor...sebab itu kita perlu kembali menghasilkan SSR yang memuaskan untuk jamin bekalan beras negara,” katanya.
Terdahulu, Mohamad turut melawat ladang lembu tenusu dan kilang pemprosesan susu milik Fraser & Neave Holdings Bhd di F&N Agri Valley, di Gemas, yang memberi gambaran jelas cara pelaburan swasta mampu menggerakkan pembangunan industri tempatan sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata ladang tenusu seluas 2,000 ekar yang dibangunkan dalam tiga fasa itu dilengkapi kemudahan moden serta teknologi terkini dan dijangka menghasilkan hingga 200 juta liter susu setahun dengan pengeluaran semasa sudah mencecah 40,000 liter susu segar sehari.
“Setakat ini ia berada dalam fasa pertama. Kita mahu melihat lebih banyak pelaburan sebegini agar industri tenusu negara terus berkembang, rakyat mendapat manfaat secara langsung dan Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial