AM

Mesyuarat Susulan Pindaan Akta 134 Isu Tanah Orang Asli Esok - Rubiah

02/09/2025 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Satu mesyuarat susulan bersama Pegawai Undang-Undang Negeri berhubung pindaan Akta 134 berkaitan isu tanah melibatkan masyarakat Orang Asli dijadualkan pada esok, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang.

Beliau berkata ia sebagai persediaan sebelum isu berkenaan dibawa ke mesyuarat peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Sebelum ini, KKDW telah mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) bagi membincangkan pindaan Akta 134 berkenaan.

“Kami telah mendapatkan input melalui sesi libat urus dan soal selidik dengan kepimpinan Orang Asli dan agensi-agensi yang berkaitan agar pindaan Akta 134 nanti adalah komprehensif, holistik dengan mengambil kira pelbagai aspek pandangan pihak berkepentingan,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Rubiah turut memaklumkan sehingga 28 Ogos lepas, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah menerima 121,178 permohonan pendaftaran kanak-kanak bagi sesi kemasukan 2026, merangkumi 106,235 bagi kemasukan ke Tabika KEMAS dan 14,943 permohonan ke Taska KEMAS.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu ketika menggulung perbahasan RMK13 bagi kementerian itu pula memaklumkan, sebanyak 81,302 permohonan atau 89.5 peratus daripada 90,779 permohonan bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diluluskan sehingga 3 Jun lepas terdiri dalam julat umur 40 tahun ke bawah. 

Beliau berkata dana SJKP itu juga telah ditambah sebanyak RM10 bilion pada 2025, menjadikan jumlah peruntukan dana SJKP sehingga kini RM30 bilion.

“Kerajaan telah menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu atau rumah sedia ada dan lelongan. Jaminan pembiayaan diberikan sehingga maksimum 120 peratus daripada harga rumah kediaman,” katanya.

Aiman Athirah berkata inisiatif itu juga meliputi jaminan pembiayaan kepada golongan ekonomi gig yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji, termasuk kos pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA) atau Takaful Gadai Janji (MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,171 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan melibatkan 139,848 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM113.55 bilion menerusi penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) setakat hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup semasa menggulung perbahasan RMK13 kementerian itu pula memaklumkan Sabah dan Sarawak akan dimajukan sebagai hab utama akuakultur negara menerusi pelaksanaan 37 projek bernilai RM227.9 juta di bawah pelaksanaan RMK13 dalam meningkatkan pengeluaran rantaian bekalan makanan negara.

“Di Sabah, antara projek utama termasuk cadangan pembangunan pelabuhan moden iPOD Fisheries, pusat inovasi rumpai laut di Semporna dan tempat penetasan bernilai tinggi di Tuaran, Sandakan dan Tawau manakala Sarawak akan menumpukan pembangunan zon industri akuakultur, pelabuhan moden di Tanjung Bako dan Tanjung Manis serta aplikasi teknologi moden dalam akuakultur.

“Pendekatan ini akan mengangkat Sabah sebagai hab eksport hasil laut bernilai tinggi dan Sarawak sebagai pengeluar utama akuakultur negara dalam kerangka ekonomi biru,” katanya.

Menyentuh pengeluaran padi, Arthur berkata kerajaan memperkenalkan projek rintis penanaman lima musim dalam dua tahun yang kini dilaksanakan di kawasan jelapang seperti Kangar, Jitra, Pendang dan Kuala Muda melibatkan 443 hektar serta 449 pesawah.

“Keberhasilan projek ini mendorong Perdana Menteri mengumumkan hampir RM1 bilion menerusi Belanjawan 2025, termasuk RM526 juta untuk menaik taraf 15 blok pengairan dan RM234 juta bagi pemulihan Empangan Pedu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiga varieti padi baharu iaitu MRCL3, MRCL4 dan MR333 (Menora) yang diperkenalkan baru-baru ini mampu menghasilkan sehingga sembilan tan metrik sehektar dengan tempoh matang lebih singkat, sekali gus mampu meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan