PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan akan mengaktifkan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan cuaca hujan semasa acara kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang dijadual berlangsung Ahad ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata mesyuarat khas telah diadakan bagi menyelaras langkah persediaan rapi termasuk melibatkan pergerakan kenamaan dan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Untuk hari ini, kita dapati cuaca tidak begitu mengizinkan untuk melaksanakan raptai mengikut masa yang telah ditetapkan. Ini merupakan satu daripada cabaran yang dihadapi oleh jawatankuasa pengisian Hari Kebangsaan bila berdepan faktor di luar kawalan.
“Di peringkat jawatankuasa induk, memang kita telah mengadakan mesyuarat bagi memastikan pelan kontingensi yang akan diaktifkan semasa 31 Ogos nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dataran Putrajaya hari ini.
Terdahulu, raptai yang dijadual berlangsung 8 pagi terpaksa bermula lewat dua jam susulan hujan lebat.
Beliau berkata meskipun cuaca kurang mengizinkan semangat peserta serta kontinjen yang terlibat kekal tinggi dalam memastikan raptai dapat diteruskan seperti dirancang.
Mohd Amran berkata raptai penuh akan diadakan esok manakala 30 Ogos dikhususkan untuk penyelarasan teknikal menjelang acara rasmi pada 31 Ogos.
“Keutamaan kami adalah memastikan keseluruhan acara berlangsung mengikut jadual, dengan tempoh pelaksanaan tidak melebihi dua jam bermula ketibaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hingga tamat acara. Itu antara sasaran yang kita perlu lihat.
“Buat masa ini, ada perkara yang masih perlu dibaiki, terutama dari segi penglibatan kontinjen perarakan dan aset. Perkara itu telah dibincang dan setiap kali habis raptai, ‘post mortem’ akan diadakan untuk melihat aspek yang boleh ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata persembahan formasi manusia pula akan menampilkan elemen koir secara langsung, menjadikan peserta bukan sahaja membentuk formasi visual tetapi juga menyumbangkan nyanyian sebagai suara latar.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan bermula seawal 7 pagi Ahad ini dengan ketibaan pemimpin negara, diikuti keberangkatan Sultan Ibrahim.
Sambutan akan dimulakan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, lafaz ikrar Rukun Negara dan perarakan pelbagai agensi penyertaan daripada pelbagai agensi termasuk kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, sejauh 2.1 kilometer.
Sebanyak 14,010 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 haiwan dan 21 kumpulan pancaragam bakal memeriahkan perarakan utama pada sambutan kali ini.
Pengisian menarik sambutan tahun ini termasuk perarakan kereta berhias melibatkan tujuh agensi seperti Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026, serta persembahan istimewa oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menampilkan 130 pemuzik bagpipe, julung kali dipersembahkan di hadapan pentas diraja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial