AM

Evolusi Populasi Malaysia, 1970-2025

28/08/2025 09:29 PM

Oleh Shaza Al Muzayen

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pada 1970, Malaysia buat kali pertama melaksanakan bancian kebangsaan. Jumlah populasinya ketika itu 10.9 juta orang.

Sebelum itu, data bancian yang dikutip hanya pada peringkat Malaya atau kawasan tertentu. Namun, bagi yang tertanya-tanya, satu kompilasi data daripada rekod sejarah dan kertas kajian lampau menunjukkan bahawa pada tahun 1957, penduduk Semenanjung Malaysia berjumlah 6.28 juta. Angka itu meningkat kepada 8.93 juta menjelang 1969.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tahun 1970 menandakan bancian pertama yang benar-benar menyeluruh selepas pembentukan negara pada 1963.

Hari ini, 68 tahun sejak kemerdekaan, jumlah penduduk mencecah 34.2 juta.

Lonjakan ini pada awalnya dipacu kadar kesuburan yang tinggi serta penambahbaikan dalam sistem penjagaan kesihatan. Ini secara tidak langsung mengurangkan kadar kematian bayi dan kanak-kanak.

Pertumbuhan penduduk menjadi begitu pesat sehinggakan pada tahun 1966, kerajaan terdorong menubuhkan Lembaga Perancang Keluarga Negara (kini dikenali sebagai Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) bagi mengawal kadar populasi, demi pembangunan ekonomi.

Ditubuhkan bawah Akta Perancang Keluarga 1966 (Akta 42), lembaga itu diberi mandat melaksanakan program perancang keluarga di peringkat kebangsaan. Matlamatnya untuk mengawal pertumbuhan penduduk agar lebih sejajar dengan keperluan pembangunan negara.

(Akta Perancang Keluarga 1966 (Akta 42) kemudiannya dipinda dan kini dikenali sebagai Akta Penduduk dan Pembangunan Keluarga 1966 (Akta 352).

Namun pada 1980-an, kerajaan menetapkan haluan baharu: sasaran 70 juta penduduk menjelang tahun 2100.

Dasar penduduk yang diperkenalkan pada 1984 itu berasaskan pandangan bahawa jumlah penduduk yang lebih besar boleh menyokong pembangunan negara, sekiranya kualiti dan produktiviti ditingkatkan.

Namun data terkini menunjukkan sasaran itu semakin jauh daripada jangkauan.

 

PENURUNAN 

Isyarat awal perubahan muncul pada 2020, apabila populasi Malaysia mencatat penurunan buat pertama kalinya. 

Menurut DOSM, penyusutan kecil populasi daripada 32.5 juta kepada 32.4 juta itu bukan disebabkan perubahan jumlah warganegara, tetapi kerana penurunan populasi bukan warganegara. Ia kesan langsung daripada penutupan sempadan dan penghijrahan keluar pekerja asing ketika Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19.

Fenomena sementara ini sebenarnya petanda kepada trend yang lebih besar. Pada Julai lalu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengatakan bahawa walaupun populasi Malaysia akan terus bertambah, kadar pertumbuhan dijangka menjunam daripada 1.7 peratus pada 2020 kepada hanya 0.1 peratus menjelang 2060.

DOSM menjangkakan jumlah penduduk akan memuncak pada 42.38 juta pada 2059 sebelum menurun secara beransur-ansur, sehingga ke 41.43 juta menjelang 2070. Faktor utamanya? Penurunan kadar kelahiran yang berterusan dan ketara.

Kadar kesuburan telah berada di bawah paras penggantian iaitu 2.1 anak bagi setiap wanita sejak 2013.

(Bagi mengekalkan kestabilan populasi, badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesyorkan kadar kesuburan menyeluruh minimum pada 2.1 anak bagi setiap wanita. Ini tahap yang membolehkan satu generasi diganti oleh generasi seterusnya.)

Kadar perkahwinan yang semakin lewat atau merosot turut memendekkan jendela reproduktif, sekali gus menyumbang kepada penurunan kelahiran.

 

SEMAKIN MENUA

Kemerosotan ini hanyalah sebahagian daripada permasalahan yang lebih besar: Malaysia sedang menua dengan kadar yang pantas.

Satu dalam tujuh rakyat Malaysia akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2048, kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat pada 26 Ogos, memetik data DOSM. Ini akan secara rasmi menjadikan Malaysia sebuah negara tua.

Ketika ini, lapan peratus rakyat negara ini berusia 65 tahun ke atas. Angka ini dijangka melonjak menjelang 2040, sekali gus menimbulkan cabaran baharu terhadap tenaga kerja, sistem kesihatan, dan jaringan sokongan sosial.

Bagi menangani permasalahan ini, kerajaan sedang merangka pelan hala tuju baharu. Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 yang baru dilancarkan dan bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 menekankan pendekatan whole-of-nation (keseluruhan negara).

Strategi ini meninggalkan model tiga peringkat kehidupan yang konvensional. Visi baharu ini menggalakkan pekerjaan separuh masa bagi warga emas, memperluas penjagaan di rumah, mengukuhkan sokongan kewangan, serta menilai semula skim seperti sistem pengeluaran KWSP.

“Dewasa ini, jangka hayat manusia semakin panjang. Ini menjadikan peringkat hidup berlainan bertindih dan bersilang, membentuk apa yang disebut sebagai ‘hidup berbilang peringkat’. 

“Contohnya, pesara kini kerap digalakkan kembali menyertai pasaran tenaga kerja dalam pelbagai kapasiti. Persaraan bukan lagi satu titik tetap,” kata Amir Hamzah.

Lengkung demografi Malaysia pada hari ini tidak lagi tentang pertumbuhan, tetapi keseimbangan. Cara negara ini menangani populasi yang semakin menua akan menentukan sama ada ia menjadi suatu beban atau pun peluang untuk pembaharuan.

(Data populasi DOSM merangkumi warganegara dan bukan warganegara, tetapi tidak termasuk penduduk sementara. Bukan warganegara ditakrifkan sebagai individu tanpa kewarganegaraan Malaysia yang tinggal di negara ini enam bulan atau lebih pada tahun rujukan, termasuk pekerja asing, ekspatriat, dan pelajar antarabangsa.)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan