EKONOMI

Objektif Jelas Penting bagi Kemajuan Ekonomi Serantau - IDEAS

26/08/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Negara-negara Asia boleh terus memajukan kepentingan ekonomi serantau dan memperkukuh daya tahan kolektif masing-masing dengan mengekalkan kejelasan mengenai matlamat mereka serta tidak mudah terpengaruh dengan ketidaktentuan luaran.

Pengarah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata kerajaan boleh memanfaatkan sumber tersedia di ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi merangka dasar yang merangsang permintaan domestik dan mengurangkan kebergantungan mereka kepada pertumbuhan berasaskan eksport.

“Sudah tiba masanya untuk membangunkan kelas pertengahan yang lebih kukuh dan maju bagi pertumbuhan ekonomi mampan," katanya dalam ucaptama pada Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia Pasifik anjuran Boao Forum for Asia di sini hari ini.

Sta Maria yang juga bekas Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC berkata ASEAN berperanan sebagai mekanisme kukuh untuk memupuk kerjasama dan memajukan integrasi dalam kalangan anggota, dengan menawarkan idea bagi penjajaran dasar dan kemajuan serantau.

Katanya APEC pula berfungsi sebagai platform penting untuk mencetus idea dan dasar baharu.

“Kami sebenarnya meneroka potensi untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas yang lebih luas. Penting untuk kami menumpukan usaha kepada bidang keutamaan, termasuk bekerjasama memperdalam kesalinghubungan dan mengelak daripada terganggu dengan tindakan Amerika Syarikat yang tidak jelas.

“Daripada membiarkan perubahan ini menentukan arah strategi serantau kami, lebih baik kami menumpukan kepada penyelesaian bersama dan integrasi jangka panjang,” katanya.

Menurut Sta Maria, ASEAN telah berjaya bekerjasama dengan ASEAN+1, ASEAN+3, dan apa yang lebih penting adalah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dengan naik taraf perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China memainkan peranan penting.

“Naik taraf ini perlu diselaraskan dengan usaha yang sedang kami lakukan menerusi perjanjian RCEP. Kami perlu melihat semua ini secara menyeluruh,” katanya sambil memaklumkan, sebagai forum tidak terikat, APEC menawarkan perbincangan terbuka dan percubaan yang membolehkan penggubal dasar memperhalusi strategi.

Sta Maria turut menekankan bahawa ASEAN dan APEC adalah platform penting untuk melaksanakan reformasi struktur dan kawal selia yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan anggota bagi memudahkan urusan perniagaan dan menggalakkan kerjasama rentas sempadan.

Menurutnya bagi memperkukuh kerjasama ekonomi, meningkatkan kesalinghubungan kewangan adalah penting terutamanya dalam aspek pembayaran rentas sempadan, aliran data, perlindungan data dan keselamatan siber.

“Pada masa sama, penting untuk menyokong perusahaan yang dalam peralihan daripada ekonomi tidak formal kepada ekonomi formal, dan kami banyak memberi tumpuan kepada perkara ini tahun lepas.

“Oleh itu, terdapat bahan yang boleh digunakan oleh ekonomi dan industri untuk memanfaatkan hasil kerja APEC tahun lepas,” katanya.

Menurut beliau, peralihan daripada ekonomi tidak formal kepada ekonomi formal bukan sahaja memperteguh kerangka ekonomi, malah memperluas ruang teknologi dan menyumbang kepada pembangunan mampan jangka panjang.

“Kini adalah masa yang tepat untuk mengubah naratif mengenai rantau kami. Melalui pelaburan dalam pasaran dan syarikat kami sendiri, kami boleh membina masa depan ekonomi yang lebih kukuh dan tidak bergantung pada yang lain.

“Inilah peluang kita untuk menekankan semula komitmen terhadap kemakmuran serantau dan kemajuan ekonomi bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan