BINTULU, 25 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 74 penduduk di petempatan di Seberang Pasar Lama Tatau yang terletak di tebing Sungai Tatau kira-kira 46 kilometer dari sini, hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran pagi ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tatau PBT II Herudin Ealhi yang juga ketua balai bomba Tatau berkata kebakaran itu melibatkan 19 rumah struktur tidak kekal yang bersambung antara satu sama lain, sebanyak 17 daripadanya musnah sepenuhnya, manakala dua lagi terbakar 20 peratus.
Beliau berkata seorang remaja lelak berusia 13 tahun melecur 20 peratus di bahagian belakang badan dan telah dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Tatau untuk mendapatkan rawatan.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.08 pagi, pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai dan bantuan turut disalurkan oleh BBP Bintulu.
“Pasukan bomba menggunakan bot melalui Sungai Tatau untuk sampai ke lokasi dan tiba pada 10.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya menggunakan empat pam angkut dengan sumber air diambil dari Sungai Tatau memandangkan lokasi kejadian tidak dapat dilalui jentera bomba.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 2.33 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial